PETALING JAYA – Selepas tiga hari berturut-turut menerima pelanggan di restoran barunya, pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, akhirnya menarik nafas lega hari ini selepas menutup restorannya.
Menerusi perkongsiannya di Threads, restoran tersebut menerima lebih 1,500 pelanggan menuntut stamina dan kesabaran Khairul Aming untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
“Macam ni rupanya perasaan jadi pengantin. Selepas tiga hari bersanding dengan 1,500 tetamu, akhirnya hari ni kita rehat. Rembayung ditutup setiap hari Jumaat, esok kita buka balik,” tulisnya di hantaran Threads.
Perkongsian tersebut menarik perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya turut berseloroh dengan gurauan bersanding tersebut.
“Ni baru simulasi nak jadi pengantin. Khairul Aming kalau jadi pengantin duduk diam-diam jadi pengantin saja ya,” komen Norain Baharudin.
“Terima kasih Khairul Aming jemput datang kenduri. Sedap-sedap lauk semuanya,” seloroh Aten Zati.
“Terbaik Khairul Aming pilih cuti hari Jumaat. Senang nak fokus solat Jumaat, tak perlu kalut-kalut nak masuk kerja bagai,” komen @nhafizaz – KOSMO! ONLINE














