KOTA TINGGI – Seorang pelajar kolej maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 67.4 Lebuh Raya Senai-Desaru, di sini malam tadi.
Mangsa, Intan Darwiena Abdullah, 20, yang merupakan pelajar jurusan pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Vokasional ERT Azizah, Johor Bahru meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 10.40 malam dan nahas membabitkan kereta Toyota Vios dipandu wanita berusia 35 tahun dan motosikal Honda Beat yang ditunggang gadis berusia 20 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan dari Bandar Penawar menghala ke Johor Bahru hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal.
“Akibatnya, penunggang motosikal parah di badan dan maut di tempat kejadian. Pemandu kereta dilaporkan sakit di bahagian dada dan menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.- KOSMO! ONLINE














