PETALING JAYA – Seramai 10,563 pesakit di negara ini masih menunggu untuk menerima transplan organ daripada penderma selepas kematian, sekali gus mencerminkan jurang besar antara keperluan dan kadar pendermaan organ di Malaysia.
Menurut data Pusat Sumber Transplan Nasional Kementerian Kesihatan (KKM), sehingga November 2025, seramai 415,316 orang telah mendaftar sebagai pengikrar penderma organ dengan 18,143 pengikrar baharu direkodkan sepanjang tahun 2025.
Bagaimanapun, jumlah penderma sebenar masih rendah apabila hanya 78 penderma kadaverik direkodkan pada tahun ini, menjadikan 1,046 penderma sebenar kadaverik sehingga kini.
“Jumlah pembedahan transplantasi sehingga kini sebanyak 3,530. Bilangan organ dan tisu kadaverik yang telah didermakan sehingga kini sebanyak 3,310,” menurut data berkenaan.
Dalam pada itu, statistik menunggu transplan menunjukkan buah pinggang kekal sebagai organ paling kritikal diperlukan melibatkan 10,218 pesakit dewasa dan 315 pesakit kanak-kanak.
Bagi transplan hati, seramai tiga pesakit dewasa dan dua kanak-kanak masih menunggu, manakala 13 pesakit memerlukan transplan jantung.
Selain itu, tiga pesakit menunggu paru-paru dan sembilan pesakit memerlukan transplan jantung serta paru-paru serentak.
Semalam Kosmo! melaporkan mengenai seorang pemuda, Allahyarham Amirrulmukminin Mohd. Zain, 27, yang meninggal dunia akibat mati otak kerana kemalangan jalan raya telah menjadi penderma organ.
Allahyarham telah mendermakan mata, tulang dan buang pinggang dalam satu pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada Sabtu lalu telah tular di media sosial.
Dalam pada itu, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) turut menjalankan pembedahan melibatkan penderma organ yang meninggal dunia pada Sabtu lalu bagi memberi harapan baharu kepada pesakit di beberapa hospital lain di Lembah Klang.
PPUM dalam perkongsian di Facebook berkata, individu tersebut mendermakan beberapa organ sekali gus penyambung nyawa kepada mereka yang memerlukan.
“Sebelum pergi, beliau sempat meninggalkan ‘hadiah’ paling mahal untuk orang lain. Dalam kesedihan perpisahan itu, berlaku satu penyambung nyawa yang luar biasa apabila beberapa organ penting didermakan untuk insan yang memerlukan,” tulisnya.
Menurut PPUM, sebelah buah pinggang penderma itu digunakan untuk pesakit di PPUM manakala sebelah lagi dihantar ke Hospital Selayang.
Sepasang kornea pula disalurkan kepada Hospital Sungai Buloh bagi membantu pesakit mendapatkan kembali penglihatan.
Manakala injap jantung penderma tersebut diberikan kepada Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur untuk rawatan pesakit jantung.
Susulan itu, Bangunan Plaza PPUM diterangi dengan cahaya neon hijau sebagai simbol, menandakan pembedahan pendermaan organ telah selesai selain tanda sokongan terhadap usaha yang terus menyelamatkan serta mengubah kehidupan.














