BUKIT KAYU HITAM – Keadaan pemuda yang dirawat di Hospital Krabi, Thailand selepas terlibat kemalangan di negara jiran itu pada Rabu lalu dilaporkan dalam keadaan stabil.
Mangsa, Muhammad Hazim Rafiq Hussain, 21, dijangka dibawa pulang bagi mendapatkan rawatan di hospital dalam negara.
Abang Muhammad Hazim, Muhammad Harith Rafie Hussain, 24, berkata, doktor pada semalam memaklumkan adiknya dalam keadaan stabil dan boleh dibawa pulang ke Malaysia.
“Alhamdulillah, keadaan adik saya kini dalam keadaan stabil. Dia dalam keadaan separa sedar, saya nampak tangan dan kakinya bergerak.
“Bagi tujuan membawa pulang Hazim, saya perlu menguruskan ambulans daripada hospital swasta di Thailand untuk membawa Hazim dari Hospital Krabi ke sempadan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, sebelum dapat membawa pulang adiknya itu, segala kos perubatan di hospital berkenaan perlu diselesaikan.
“Kos rawatan sebenar sehingga hari ini belum lagi dapat dipastikan,” ujarnya sambil memberitahu terdapat beberapa pihak yang menawarkan bantuan.
Kosmo! pada semalam melaporkan seorang rakyat Malaysia berusia 21 tahun dilaporkan koma di Hospital Krabi, Thailand selepas motosikal yang dia tunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di negara jiran itu pada Rabu lalu.
Muhammad Hazim Rafiq mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan pada kepala, paru-paru bocor dan retak pada tulang bahagian pinggang.
Kejadian berlaku ketika adiknya bersama lima rakan berkonvoi ke Thailand pada Selasa lalu.
Susulan itu, keluarga Muhammad Hazim dari Pulau Pinang memohon bantuan kewangan daripada orang ramai selepas dimaklumkan kos rawatan sehingga 2 Januari lalu sudah mencecah RM21,000.














