RABAT – Pengendali Mesir, Hossam Hassan berharap ‘skuad emas’ kali ini tidak akan pulang dengan sia-sia menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 menentang Benin, awal pagi esok.
Sebagai rekod, Mesir terdesak untuk menamatkan penantian 16 tahun selepas kali terakhir menjuarai kejohanan berprestij benua Afrika itu pada edisi 2010.
Kata Hossam, pasukan ketika ini sangat fokus dan semakin faham dengan kehendak penyokong bola sepak Mesir yang merindui era kegemilangan pasukan di peringkat antarabangsa.
“Saya rasa misi pasukan pada kali ini adalah jelas kerana kami mahu membawa pulang trofi ke tanah air. Namun, impian tersebut tidak boleh dicapai sekadar dengan kata-kata.
“Barisan pemain perlu sedar Mesir akan sentiasa jadi pilihan utama pada kejohanan ini kerana kita adalah negara yang paling berjaya dalam sejarah AFCON dengan tujuh trofi.
“Segalanya kini bergantung kepada pemain yang memiliki reputasi hebat di peringkat kelab masing-masing dan harap mereka cukup bermotivasi untuk pastikan pasukan melangkah jauh nanti,” katanya. – AGENSI














