KAJANG – Sebanyak dua buah gerai serta tiga kenderaan mengalami kerosakan teruk akibat letupan sebuah silinder gas helium di Medan Selera dekat Sungai Ramal, di sini hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, gas helium tersebut dipercayai digunakan untuk belon di salah satu gerai di medan selera berkenaan.
“Pihak polis dan sepasukan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke tempat kejadian.
“Akibat letupan tersebut, dua buah gerai rosak teruk serta tiga buah kenderaan mengalami pelbagai kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, setakat ini siasatan mendapati kejadian tidak melibatkan sebarang unsur jenayah sementara punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih disiasat.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Polis Balai Kajang, Inspektor Shisheewady Ruzani di talian 016-8565670 untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, komander operasi mendapati silider gas berkenaan yang berada di dalam stor khemah telah meletop.
Katanya, kenderaan yang terjejas melibatkan Proton Wira yang musnah 30 peratus manakala Perodua Axia (10 peratus) dan Perodua Myvi (lima peratus). – KOSMO! ONLINE














