KUALA Sungai Baru, Melaka, satu lokasi yang tidak asing bagi pemancing di negeri ini, namun tidak bagi pemancing luar.
Kami bertolak dari rumah di Alor Gajah sekitar pukul 6.30 pagi. Langit pada masa itu masih gelap, ada sedikit berbaki sejuk malam yang datang dari bendang sawah padi di tepi jalan. Bau pagi memang lain macam, segar, hening dan cukup membuatkan kami rasa trip ini akan jadi satu cerita.
Perjalanan satu jam menuju ke jeti langsung tidak terasa. Radio kereta pun kami tidak pasang. Masing-masing sibuk bercerita pasal jig, arus, dan nasib. Bapa pula lebih banyak mendengar, tapi saya tahu dari cara dia senyum-senyum kecil, dia sendiri pun teruja.
Sampai di jeti sekitar pukul 7.30 pagi, kami disambut oleh tekong yang sangat terkenal di kawasan ini, iaitu Wak. Orangnya nampak tenang, kulit gelap terbakar matahari dan senyuman yang memang buat anda rasa yakin dia tahu ke mana hendak dituju dengan botnya
Dia sudah lebih 10 tahun jadi tekong di Kuala Sungai Baru, hafal luar dalam perairan ini macam kawasan dalam rumahnya sendiri.
“Air sedang pasang elok sekarang,” kata Wak sambil memerhatikan ombak kecil yang menampar lembut di bawah botnya.
Lokasi pertama
Kami meluncur keluar dalam keadaan air sedang pasang penuh. Keadaan laut pagi itu tenang, cuma bunyi enjin dan burung laut sesekali memotong angin. Lokasi pertama kedalaman dasar sekitar 30 meter, satu lokasi yang boleh dikatakan untuk ‘pemanas badan’.
Saya pilih jig berprofil kecil tetapi berat, yang boleh tenggelam dengan cepat ke dasar. Pun begitu, hanyutan pertama bot sunyi. Hanyutan bot kali kedua juga sama, terus tekong ajak berpindah lokasi.
Ikan saiz juvenil
Sampai sahaja ke tempat seterusnya arus bergerak agak laju, tiba masanya game yang sebenar, kami bertukar ke jig berprofil lebar dan berat untuk slow pitch jigging.
Lokasi kedua ini ternyata lebih meriah, percubaan pertama sahaja jig saya sudah diambil, terasa laju tali keluar dari kekili, mungkinkah ikan talang?
Apabila ikan mula timbul, jelas nampak kilauan panjang, rupanya ia seekor ikan alu-alu. Ini pertama kali saya dapat ikan ini dengan teknik slow pitch jigging.
Tidak lama kemudian jig adik saya pula disapa, ikan merempit laju, rupanya ia seekor tenggiri batang bersaiz kecil.
Pelik juga spesies ini boleh tergoda dengan jig yang dimainkan perlahan-lahan. Biasanya tenggiri lebih gemar meligan jig yang dimainkan secara laju, lebih-lebih spesimen yang bersaiz juvenil.
Arus mati
Bila arus mati, kami tukar strategi, iaitu pancing dasar menggunakan sotong kurita sebagai umpan. Satu jam menunggu, namun ikan buat keras kepala tidak sudi kepada umpan yang kami hulurkan.
Tekong menyarankan supaya berubah lokasi ke tengah sedikit untuk mencari lubang ikan jenahak.
Kali ini kami tinggalkan pancing dasar dan hanya menumpukan kepada aktiviti slow pitch jigging.
Lubuk baharu ini benar-benar mengubah rentak trip kami. Jig yang saya turunkan dua kali sahaja sudah bersahut. Ikan terasa sungguh berat dan akhirnya seekor ikan jenahak berjaya dinaikkan.
Selepas itu saya menurunkan jig lagi dan terus ia dibaham, kali ini seekor ikan jenahak lagi menyerah. Tekong kata: “kena sudah di atas rumah dia.”
Momen-momen macam inilah membuatkan aktiviti slow pitch jigging menjadi ‘candu’. Bila kena ikan dua kali berturut-turut, rasa macam dunia berhenti sekejap untuk bagi peluang menikmati kemenangan kecil itu.
Tiba-tiba, jauh di ufuk, awan gelap mula berkumpul, angin yang tadi-nya sepoi-sepoi bahasa bertukar menjadi ‘tidak reti bahasa’. Wak ambil keputusan bijak dengan bergerak ke lokasi yang lebih
rapat ke darat.
Rezeki bapa
Sampai sahaja di lokasi, bapa yang tadinya lebih banyak bersantai mula mencuba set slow pitch jigging. Dua kali hanyutan bot akhirnya jig dia kena, naik seekor jenahak sebagai habuannya. Kami dua beradik bersorak riang memberi semangat atas ikan pertamanya dengan jig.
Saya nampak bapa cuba menahan dari tersenyum, tetapi gagal. Kami dua beradik lebih bangga sebab dapat lihat dia rasa sendiri nikmat permainan slow pitch jigging, kami sempat bergambar dan saya rasa ia akan menjadi antara foto yang paling dihargai kami.
Selepas itu angin menjadi sema-kin kuat, hujan mula turun renyai-
renyai. Wak terus angkat jari telunjuk ke arah darat. “Kita balik sebelum bot jadi kapal selam,” ujarnya tegas.
Dalam perjalanan pulang, saya diam sekejap tengok bapa dan adik berbual pasal ikan dan pengalaman masing-masing pada hari itu. Dalam hati saya pula rasa penuh, bukan sebab tangkapan ikan, tetapi sebab kami tiga beranak habiskan separuh hari bersama, atas laut yang sama, berkongsi hobi yang sama.
Walaupun trip berlangsung singkat, tapi memori yang kami dapat ‘panjang’ nilainya. Kadang-kadang, bukan soal saiz ikan, bukan soal penuh atau tidak tong ais dengan ikan tetapi yang paling penting ialah siapa yang ada di atas bot bersama kita.
Hari itu, Kuala Sungai Baru bukan sekadar lokasi memancing tetapi tempat yang mengikat memori antara seorang bapa dan dua orang anak lelakinya.














