PETALING JAYA – Perubahan iklim yang semakin tidak menentu nyata memberi kesan besar apabila kejadian bencana kecil di negara ini melonjak 34.1 peratus kepada 228 kejadian sepanjang 2024, sekali gus menjejaskan hampir 260,000 penduduk.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Statistik Alam Sekitar 2025 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan banjir terus menjadi ‘musuh utama’ negara apabila menyumbang 95.6 peratus daripada keseluruhan bencana yang direkodkan, dengan 218 kejadian melibatkan pelbagai negeri.
Beliau berkata, Terengganu dan Perak muncul sebagai negeri paling terjejas, masing-masing merekodkan 28 kejadian bencana, diikuti Pahang dan Selangor dengan 24 kejadian, sekali gus mencerminkan corak cuaca ekstrem yang semakin kerap dan sukar dijangka.
“Situasi ini turut menyebabkan peningkatan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kepada 1,520 buah, berbanding 1,218 pada 2023, dengan jumlah mangsa terjejas meningkat hampir 29 peratus kepada 259,841 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun di sebalik peningkatan bencana, terdapat berita melegakan apabila kes demam denggi menurun buat pertama kali sejak beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu 0.6 peratus kepada 122,423 kes dengan penurunan ketara direkodkan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Kedah.
Trend sama turut dicatatkan bagi kes malaria, yang menurun dengan ketara kepada 2,384 kes berbanding 3,629 kes tahun sebelumnya, terutama di Sabah, Sarawak dan Kelantan.
Dalam aspek kualiti udara pula, DOSM memaklumkan masih terdapat kawasan yang mencatatkan hari tidak sihat, antaranya Bukit Rambai, Melaka, Tanjung Malim, Perak, Rompin, Pahang dan Kimanis, Sabah, sekali gus membuktikan isu pencemaran udara masih memerlukan perhatian serius.
Dalam perkembangan berasingan, Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai negara nombor satu dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain lonjakan drastik daripada kedudukan ke-67 sebelum ini.
Menurut DOSM, pencapaian itu didorong oleh penggunaan OpenDOSM NextGen, sebuah platform data terbuka yang memudahkan orang ramai dan penyelidik mengakses serta menganalisis pelbagai statistik negara. – KOSMO! ONLINE














