SEBERANG PERAI – Polis menahan dua suspek berhubung kes kematian seorang lelaki yang dipercayai diserang sekumpulan individu bersenjatakan parang di sebuah restoran di Sungai Bakap di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, kedua-dua lelaki tersebut dikatakan mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kedua-dua suspek itu ditahan bagi membantu siasatan termasuk mengenal pasti motif kejadian serangan tersebut.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jawi petang ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang mangsa lelaki berusia 59 tahun maut dalam pergaduhan melibatkan sekumpulan individu bersenjata parang. Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Sebelum itu, tular video berdurasi 14 saat memaparkan keadaan dua mangsa dalam keadaan parah dalam sebuah premis makanan. – KOSMO! ONLINE














