SEMOGA 2026 memberi nikmat kesejahteraan berpanjangan dan dilindungi daripada bala bencana.

2026: Sinar menanti atau lebih sengsara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saat ini, 1 Januari kita memulakan hari pertama bagi tahun 2026. Bermakna kita masih diberi peluang bernafas untuk menginjak kehidupan bagi tahun yang baharu.

Persoalan yang selalu bermain di minda kita adalah apakah hari-hari mendatang untuk 12 bulan pada tahun ini akan menjadikan kita lebih baik dari tahun lalu atau sebaliknya.

Hal ini kerana kehidupan sangat bergantung kepada beberapa perkara asas seperti pendidikan, pekerjaan, tempat tinggal, pengangkutan, makanan dan kesihatan.

Selain itu, kehidupan berkait rapat dengan keselamatan fizikal dan mental serta hubungan dan sokongan sosial termasuk melibatkan keluarga dan rakan serta isu-isu persekitaran.

Semua perkara asas ini saling berhubung kait antara satu sama lain. Untuk merangkul semua yang menjadikan kesempurnaan bagi kehidupan seseorang adalah perkara mustahil.

Setiap kita terpaksa berdepan dengan cabaran-cabaran yang berbeza. Lihatlah nasib dan penderitaan yang menimpa rakyat Gaza dan bayangkan kehidupan kita di negara ini.

Tinjaulah bagaimana sengsara rakyat Aceh untuk meneruskan kehidupan ketika berdepan bencana banjir dan tanah runtuh berbanding kesiapsiagaan pemerintah kita menyediakan segala kelengkapan.

Begitu juga tekanan kehidupan rakyat di Sudan yang berbunuhan antara satu sama lain seolah-olah tiada lagi erti kemanusiaan di dalam hati dan jiwa mereka.

Dalam keadaan kita masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan bencana serangan virus Covid-19, suasana dunia hari ini seakan masih tidak menentu. Pergolakan demi pengolakan mencetuskan ketidakpastian global.

Tindak-tanduk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga sentiasa mencetuskan ketidaktentuan ekonomi seluruh dunia.

Malah geopolitik global dijangka akan terus menjadi tidak stabil dengan tindakan semberono beliau termasuk akhir-akhir ini menekan Venezuela yang diketahui mempunyai sumber bekalan minyak mentah yang banyak.

Beliau telah ‘mengikat’ banyak negara dengan ancaman tarif untuk memperoleh lebih banyak sumber tenaga termasuk nadir bumi yang diketahui sangat penting dalam ekonomi baharu seperti industri kereta elektrik dan persenjataan.

Kita juga bimbang untuk tahun 2026 ini, banyak lagi konflik tidak berkesudahan seperti perang Russia-Ukraine, Israel-Palestin, Iran-Israel, konflik di Sudan, Myanmar dan ketegangan India-Pakistan.

Sementara konflik yang menunggu masa untuk tercetus perang seperti China-Taiwan, Korea Utara-Korea Selatan serta Thailand-Kemboja yang diikat gencatan senjata rapuh.

Meskipun konflik ini kelihatan jauh daripada kita dalam sebuah negara yang aman damai ini, namun harus diingat apa sahaja yang tercetus akan memberi impak kepada keperluan asas kehidupan kita.

Semoga kita terus dilindungi daripada bala bencana, manakala nikmat kesejahteraan yang ada hari ini terus kekal dan berpanjangan. Selamat Tahun Baharu 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN