JAKARTA – Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Kota Padang, wilayah Sumatera Barat sekali lagi dilanda banjir dengan air setinggi paras pinggang orang dewasa menenggelamkan puluhan rumah, lapor portal berita Padek.
Hujan lebat semalam menyebabkan Sungai Batu Busuk melimpah sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan) dan menjejaskan berpuluh-puluh rumah di kelurahan Kapalo Koto, daerah Pauh.
Kejiranan Tabiang Banda Gadang di daerah Nanggalo turut dinaiki air dengan dua penduduk telah dipindahkan dari rumah mereka.
Peningkatan air yang pantas menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai.
Ketua Karang Taruna, M. Ilham menggesa penduduk untuk meninggalkan kawasan berisiko tinggi dan berpindah ke tempat selamat.
Ketua Daerah Nanggalo, Amrizal Rengganis menasihati penduduk supaya menjauhkan diri dari tebing sungai susulan arus deras di Sungai Batang Kuranji.
“Kami menggesa semua penduduk yang melakukan aktiviti di sekitar sungai supaya mengelak atau menjauhkan diri berikutan keadaan cuaca dan hujan lebat di hulu sungai demi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” kata Amrizal.
Sebelum ini, Pusat Gerakan Kecemasan (Pusdalops-PB) Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Kota Padang telah mengeluarkan amaran sekitar pukul 3.52 petang (waktu tempatan) mengenai peningkatan paras air di beberapa sungai utama.
“Laporan dan maklumat sedang diberikan kepada penduduk di sekitar Sungai Batang Kuranji dan Sungai Lubuk Minturun. Sila berjaga-jaga kerana paras air meningkat dengan ketara dan alirannya agak deras,” kata BPBD Kota Padang. – AGENSI














