fbpx
Nathan menunjukkan resit bayaran saman tertunggak yang dijelaskan ketika tinjauan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur semalam. Foto oleh AMIR KHALID

‘Memang puas hati dapat diskaun bayar saman’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai menyerbu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara untuk menjelaskan saman lalu lintas pada hari terakhir semalam.

Rata-rata mereka tidak mahu melepaskan peluang menikmati dis­kaun sehingga 70 peratus ber­­mula 1 November sehingga semalam yang terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun. Kekangan masa disebabkan tun­tutan kerja antara alasan diberikan untuk menjelaskan saman pada saat akhir.

Di Shah Alam, tinjauan di Ibu Pejabat JPJ Selangor mendapati orang ramai hadir sejak pagi untuk menjelaskan saman masing-masing.

Muhammad Rosli Aziz, 42, berkata, dia hadir pada pukul 9.45 pagi untuk menjelaskan saman atas kesalahan menggunakan lorong kecemasan, namun setakat pukul 11 pagi urusan tersebut masih belum selesai.

“Apa boleh buat saya kena tunggu juga. Kaunter bayaran saman sudah penuh kerana hari ini (semalam) hari terakhir dapat (nikmati) diskaun,” katanya.

Pemandu lori, Sulaiman Ahmad, 62, pula berkata, dia hadir untuk menyelesaikan sa­man tertunggak atas kesalahan membawa lebih muatan la­pan tahun lalu selepas menyemak rekod dalam aplikasi MyJPJ be­berapa hari lepas.

“Saya perlu jelaskan saman ini kerana mahu memperbaharui Lesen Memandu Vokasio­nal GDL (Lesen Kelas E) yang tamat esok (hari ini). Saya buat rayuan, harap berjaya,” katanya.

Orang ramai menunggu giliran untuk membayar saman di Ibu Pejabat JPJ Selangor,
Shah Alam semalam. – MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Di Kuala Terengganu, kaun­ter saman JPJ dan PDRM turut sesak dengan kehadiran orang ra­mai yang mahu melunaskan saman. Ada yang mendakwa me­reka tidak sempat berbuat de­mikian sebelum ini kerana kekangan masa dan tuntutan kerja.

Inarah Irsalina Wahad, 28, berkata, dia menjelaskan saman tertunggak semalam kerana bercuti panjang ketika ini.

Wan Nur Syahirah Wan Yahya, 30, pula memberitahu, dia baru menyedari terdapat kompaun trafik ketika menyemak aplikasi MyJPJ dan MyBayarPDRM baru-baru ini.

Di Kuala Lumpur, tinjauan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi mendapati kaunter pembayaran dipenuhi orang ramai, namun urusan berjalan dengan lancar dan teratur.

Nordin Mohd., 60, berkata, dia berasa lega kerana dapat menjelaskan 10 saman tertunggak pada hari terakhir semalam.

“Memang memuaskan bila dapat diskaun sehingga 70 peratus. Banyak saman berjaya diselesaikan hari ini (semalam). Alhamdulillah selesai,” katanya.

Jelasnya, kekangan masa menjadi punca dia menunggu hingga saat akhir untuk membu­at bayaran, namun berharap sis­tem baharu akan diperkenalkan pada tahun hadapan supaya pe­salah trafik dapat membuat bayaran lebih awal.

“Tahun hadapan, dengan pe­ngenalan sistem ‘lebih cepat ba­yar, lebih murah’ saya tidak mahu tangguh lagi,” katanya.

Anis Shamimi Loo, 27, berkata, dia datang ke balai untuk membatalkan saman disebabkan kesilapan nombor pendaftaran dan prosesnya hanya mengambil masa kira-kira 22 minit.

“Saman lain saya jelaskan secara dalam talian,” katanya yang menyifatkan pemberian diskaun itu adalah yang tertinggi berbanding skim terdahulu.

Sementara itu, Nathan Danapal, 44, pula memberitahu, dia dan isterinya mempunyai lapan saman tertunggak.

“Daripada jumlah keseluruhan saman lebih RM3,000, saya hanya perlu membayar RM560 selepas menikmati diskaun 70 peratus. Memang berbaloi,” ujarnya.

Di Kulim, Ahmad Nizar Abdul Rahman, 54, berkata, tawaran dis­kaun saman yang diberikan ke­rajaan sejak awal bulan lalu banyak menjimatkan wang poketnya.

“Bukan tak mahu bayar awal, tapi kekangan masa dan urusan harian membuatkan perkara ini tertangguh. Walaupun saat akhir, keadaan di sini masih terkawal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN