SEBERANG PERAI – Pelaksanaan projek perumahan bernilai lebih RM1 bilion oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dalam tempoh lima tahun dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi serta sektor pembinaan di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Shaik Hussein Mydin berkata, sebanyak 5,000 unit rumah akan dibangunkan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) di atas tanah berkeluasan lebih 200 hektar, merangkumi pelbagai jenis kediaman termasuk rumah mampu milik.
Menurutnya, kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan atau 500 unit akan ditawarkan menerusi kaedah sewa beli atau rent-to-own (RTO).
“Kaedah sewa beli ini sekurang-kurangnya dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan bagi memiliki rumah sendiri.
“Projek pembinaan 500 unit rumah berkonsepkan sewa beli ini akan diumumkan dalam masa terdekat dan dijangka dilancarkan sebelum pertengahan tahun depan.
“Projek berkenaan akan dibangunkan di atas tanah milik Perda sendiri dan ketika ini telah mendapat kelulusan serta berada pada peringkat akhir perancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Kembali Ke Sekolah anjuran Perda dengan kerjasama anak syarikatnya, PERDA Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVISB), di Kubang Menerong, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














