fbpx
Gambar hiasan.

Keputusan PN perlu diputuskan secara konsensus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiga sayap Pemuda Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa sebarang keputusan yang dibuat atas nama gabungan itu wajib dirujuk, dibincang dan diputuskan secara bersama melalui Majlis Tertinggi PN selaras dengan peruntukan Perlembagaan PN.

Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, tiga sayap Pemuda PN terbabit merujuk kepada isu perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan menegaskan bahawa Fasal 13 Perlembagaan PN dengan jelas menetapkan mekanisme membuat keputusan dalam gabungan tersebut.

Menurut kenyataan itu, sebarang keputusan atau pendirian yang dibuat atas nama PN tidak boleh ditentukan secara unilateral oleh mana-mana parti komponen, sebaliknya perlu dicapai melalui konsensus bersama semua parti yang membentuk gabungan berkenaan.

“Walaupun setiap parti komponen berhak menyuarakan pandangan masing-masing, pendirian rasmi PN mestilah diputuskan secara kolektif melalui persetujuan bersama,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Hilman Idham; Ketua Pemuda Nasional Gerakan, Lee Boon Shian dan Ketua Pemuda Kebangsaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Justin Prabakaran.

Dalam pada itu, mereka turut menggesa semua kepimpinan gabungan di semua peringkat agar mengamalkan politik berteraskan hikmah, kebijaksanaan serta menjaga adab dan etika dalam kerjasama politik.

Pendekatan itu, menurut mereka, penting bagi memastikan agenda lebih besar PN dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN