BEIJING – China mencipta rekod dunia baharu dengan membina tren yang mencapai kelajuan 700 kilometer sejam dalam masa dua saat sahaja, menjadi negara pertama mencapai kejayaan itu menggunakan sistem maglev elektrik superkonduktor.
Laman berita Wionews melaporkan, saintis-saintis Universiti Teknologi Pertahanan Kebangsaan China menjalankan ujian pada kereta api angkatan magnetik dan memecut tren seberat sekitar 1,000 kilogram untuk mencapai kelajuan tersebut.
Ujian itu dilakukan di landasan sepanjang 400 meter, dan ia menunjukkan pecutan serta nyahpecutan kereta api maglev tersebut dengan selamat sekali gus menjadikannya kereta api maglev elektrik superkonduktor terpantas dunia.
Rakaman eksperimen itu tular di media sosial dan saluran berita China, di mana kenderaan seperti casis dilihat bergerak di landasan serta meninggalkan jejak berkabus.
Kereta api Maglev tidak menggunakan rel keluli konvensional. Sebaliknya, ia terapung di atas laluan dibina khas menggunakan daya magnet yang kuat.
Disebabkan kereta api tidak menyentuh landasan, geseran hampir sifar sepenuhnya. Ini membolehkan tren meluncur pada kelajuan tinggi sambil mengurangkan bunyi bising, getaran dan haus mekanikal. – AGENSI














