SEBERANG PERAI – Seorang bayi perempuan yang dilahirkan pramatang di Jepun memerlukan kira-kira RM1.5 juta bagi menampung kos rawatan intensif dan urusan membawa pulang ke tanah air.
Bayi itu, Alexis Liang Xi Yue, dilahirkan dengan berat hanya 480 gram ketika usia kandungan 22 minggu dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), sebuah hospital di Tokyo.
Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga bayi dari Bukit Mertajam di sini terpaksa memohon bantuan orang ramai berikutan kos rawatan yang amat tinggi.
Menurutnya, bapa Alexis, Liang Chee Liang, 32, memaklumkan isterinya, Chan Luen Chiag, 29, menerima kelulusan perubatan sebelum berlepas ke Tokyo pada 9 November lalu.
“Bagaimanapun, Luen Chiag mengalami kesakitan teruk dan pendarahan luar biasa sebelum mendapatkan rawatan di beberapa klinik.
“Pasangan itu kemudian membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia, namun pendarahan bertambah serius sehingga Luen Chiag melahirkan bayinya di bilik hotel sebelum menaiki penerbangan pulang,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau, Alexis yang kemudiannya dikejarkan ke hospital disahkan mengalami beberapa komplikasi kritikal termasuk penyakit paru-paru kronik bronchopulmonary dysplasia, masalah perkembangan retina serta pendarahan otak di ventrikel kanan.
Katanya, bayi itu perlu dirawat di wad NICU sehingga tarikh jangkaan kelahiran asalnya pada penghujung Mac tahun hadapan sebelum dibenarkan keluar hospital tertakluk kepada tahap kesihatannya. – KOSMO! ONLINE














