PENGGUNAAN teknologi papan pintar atau smartboard semakin meluas dalam bilik darjah. Ia selari dengan keperluan pendidikan yang menekankan pembelajaran interaktif, visual dan berpusat.
Tidak lagi sekadar papan tulis konvensional yang menggunakan pen dakwat atau kapur, smartboard membolehkan guru menggabungkan teks, video, grafik animasi dan kandungan digital secara langsung.
Kaedah tersebut menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, berkesan dan sesuai dengan konteks gaya hidup moden pada masa kini.
Malah, papan pintar membuatkan pembelajaran dengan kecerdasan buatan (AI) menjadi lebih mudah seiring dengan perkembangan teknologi digital yang mempengaruhi cara pelajar menerima maklumat.
Papan pintar itu juga berperanan sebagai medium penting dalam membentuk pendekatan baharu bagi setiap mata pelajaran berbanding konsep tradisional.
Menurut syarikat yang membangunkan teknologi tersebut, Delta View, paparan visual interaktif membuatkan pelajar lebih mudah memahami konsep kompleks terutama subjek memerlukan penerangan visual seperti Sains, Matematik, Sejarah atau Geografi.
Sementara itu, salah seorang pakar pendidikan teknologi, Katie Harmon berkata, integrasi teknologi interaktif dalam bilik darjah bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan pada masa kini dalam membentuk pendidikan yang lebih terjamin.
“Kita sekarang sudah bercakap tentang bagaimana impak AI terhadap industri digital dan penggunaan papan pintar dalam bilik darjah seharusnya sudah menjadi satu kemestian.

“Papan pintar ini membantu guru menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut tahap dan keperluan pelajar, sekali gus dapat memberi gambaran jelas berteraskan kaedah saintifik,” katanya dalam platform Threads.
Selain meningkatkan penglibatan pelajar sewaktu proses pembelajaran, penggunaan smartboard juga dapat membantu guru menjimatkan masa dan tenaga.
Kandungan pelajaran boleh disediakan lebih awal, disimpan dan digunakan semula pada bila-bila masa. Ini membolehkan guru merancang pengajaran secara sistematik.
Selain itu, bahan pengajaran juga boleh dikemas kini mengikut keperluan semasa tanpa perlu menulis semula secara manual.
Kaedah sebegini menjadikan pembelajaran lebih menarik dan membantu pelajar menguasai sesuatu subjek lebih berkesan dengan bantuan paparan visual, selain mengelakkan kebosanan.
Dalam pada itu, Harmon melihat teknologi smartboard sebagai satu pelaburan penting dalam dunia pendidikan moden memandangkan dunia kini sedang beralih ke era digital.
“Cara ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan guru, malah membuatkan pengalaman pembelajaran lebih relevan seiring gaya hidup digital pelajar masa kini.
“Kemajuan teknologi dan integrasi AI menjadikan penggunaan papan pintar dijangka terus berkembang.
“Papan pintar akan menjadi elemen utama dalam membentuk generasi pelajar yang lebih kreatif, berpengetahuan dan bersedia untuk cabaran digital pada masa depan,” katanya.














