fbpx
Anggota polis membawa Iqmal Haizi untuk didakwa atas pertuduhan menyeludup lapan PATI warga India di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

Tekong darat didakwa seludup 8 PATI di hentian bas ekspres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India termasuk tiga wanita berusia dalam lingkungan 19 hingga 47 tahun di Hentian Bas Ekspres Machang dekat Machang pada awal bulan ini.

Tertuduh, Iqmal Haizi Zapudi, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan penyeludupan migran melibatkan lapan warga India termasuk tiga wanita di Hentian Bas Ekspres Machang dekat Machang kira-kira pukul 10.30 malam pada 1 Disember lalu.

Iqmal Haizi didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Hajar tidak menawarkan jaminan kerana kes tersebut merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang tidak boleh dijamin.

“Selain itu, kesemua migran yang ditahan masih belum dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 di Mahkamah Majistret Machang,” katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 19 Januari 2026 untuk deposisi dan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI