TIDAK terlintas di fikiran Muhammad Iqbal Saaban, untuk membina kerjaya sebagai jurusolek artis.
Namun, takdir hidupnya telah tertulis bahawa kerjaya tersebut akan menjadi sumber utama pendapatannya.
Dia yang lebih dikenali sebagai Iqbal Rafael, 34, berkata, di dalam industri perjalanannya dalam bidang itu bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal.
Menurutnya, dia sendiri pernah melalui fasa kekeliruan dalam menentukan hala tuju kerjaya masa depannya.
“Sebelum ini saya belajar dalam bidang pembinaan landskap, tetapi saya sukar untuk memahaminya, namun saya habiskan juga bidang kemahiran itu sehingga memperoleh sijil dari CIDB Malaysia.
“Kemudian, saya ambil pula keputusan untuk meneruskan pembelajaran di Institut Kemahiran Mara (IKM) dalam bidang fesyen rambut,” katanya kepada K-Kampus.
Biarpun sudah mempunyai dua sijil kemahiran, dia masih belum menemukan bidang yang ingin diceburinya sehinggalah dia mengenali jurusolek artis, Tiar Zainal.
Iqbal Rafael kemudian mengikuti Tiar dengan menjadi pembantu jurusolek bagi meraih pengalaman.
“Saya belajar dengan Tiar dan dia bawa saya pergi untuk jadi jurusolek pengantin, jurusolek untuk program televisyen, majalah dan pelbagai lagi.
“Dengan dia saya belajar secara tidak formal jadi seorang jurusolek,” ujarnya.
Menyedar dirinya perlu belajar lebih lagi untuk menjadi seorang jurusolek artis, Iqbal Rafael kemudian mengambil keputusan menyambung pengajian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di Universiti Lim Kong Wing dalam bidang solekan.
Dia belajar selama tiga tahun dan dalam masa sama turut bekerja sebagai seorang jurusolek.
Malah, SKM yang diraihnya bukan sekadar sijil untuk Iqbal Rafael, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap pengalamannya di dalam industri solekan sebelum ini.

Melalui pengalamannya, SKM tersebut kemudian ditukar kepada tahap setara ijazah dalam bidang berkaitan solekan.
Proses penilaian untuk menukar SKM ke ijazah bukan mudah dan Iqbal perlu menunjukkan portfolio, rekod kerja dan bukti pengalaman sebenar dalam bidang itu.
Untuk membina nama dalam industri solekan, Iqbal Rafael menjelaskan, dia menjadi jurusolek bersama syarikat produksi.
“Saya bertanggung jawab untuk menjadi jurusolek bagi artis-artis yang terlibat dengan produksi teater, drama dan filem seperti Umie Aida, Erra Fazira, Nora Danish dan ramai lagi,” katanya.
Kini Iqbal Rafael memilih untuk menjadi jurusolek bebas dan memberikan perkhidmatan kepada artis, ahli politik, pengantin dan ramai lagi. Malah, dia berpuas hati pendapatan yang diterimanya sebagai seorang jurusolek bebas.
Sebagai seorang jurusolek, Iqbal Rafael menjelaskan dia amat menjaga kualiti solekannya.
“Ini bagi memastikan mereka yang saya tatarias wajahnya berpuas hati dengan hasil kerja saya. Tidak dinafikan, dalam industri solekan ini persaingannya sangat sengit dan ramai yang jadikan sebagai satu kerjaya.
“Oleh itu, saya perlu jaga kualiti solekan, menjaga masa, menghormati pelanggan dan lain-lain lagi bagi memastikan saya boleh terus bertahan,” terangnya.
Sebagai seorang yang membina kerjaya daripada kemahiran, Iqbal Rafael melihat perubahan besar dalam cara masyarakat memandang Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) masa kini.
“Dahulu, ramai orang pandang rendah bidang kemahiran, namun sangat berbeza zaman sekarang kerana semakin menjadi satu pilihan kerjaya berikutan banyak cabang kemahiran yang boleh diceburi.
“Kita juga boleh seimbangkan antara akademik dan kemahiran, iaitu mereka yang ada akademik yang tinggi tidak salah untuk cuba kuasai sesuatu bidang kemahiran,” jelasnya.














