PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa kejayaan Kerajaan Madani hari ini adalah hasil daripada kestabilan dasar, keberanian reformasi dan kepercayaan rakyat.
Anwar berkata, dibawah Kerajaan Madani, ekonomi negara terus diperkukuh melalui pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan dan agenda pertumbuhan yang inklusif.
“Malah di peringkat antarabangsa, hubungan antara kerajaan, pelbagai negara, kumpulan pemimpin, membuka ruang pelaburan strategik serta memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia.
“Segala pencapaian ini bukan sekadar angka dan statistik, tetapi diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, daripada kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu hingga jaminan masa depan yang lebih berdaya tahan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau percaya Kerajaan Madani akan terus melangkah ke hadapan, berkhidmat dengan amanah dan membina negara yang adil, makmur serta berdaya saing untuk semua.
Kata beliau, Kerajaan Madani akan terus melangkah ke hadapan dengan sokongan padu keluarga, sahabat dan rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE














