JERANTUT – Penduduk di pesisir Sungai Tembeling berhadapan kejadian banjir kali ketiga tahun ini apabila air Sungai Tembeling mula melimpah di Dataran Perniagaan Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini hari ini.
Air Sungai Tembeling mula memasuki dataran tersebut apabila siren amaran banjir berbunyi pada pukul 5.39 pagi hari ini.
Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 46, berkata, limpahan air masih perlahan kerana pada pagi ini tiada hujan namun penduduk tetap berwaspada dalam keadaan cuaca tidak menentu.
“Limpahan air ke dataran ini merupakan kali ketiga, iaitu kejadian pertama pada 28 November lalu dituruti berulang pada 15 Disember lalu dan hari ini air naik semula pada awal pagi disusuli kedengaran siren pertama berbunyi,” katanya di Kampung Bantal di sini hari ini.
Peniaga kedai kopi, Norhisam Nahari, 55, berkata, premis kedai kopinya terselamat kerana dipasang tong dram supaya terapung ketika banjir.
“Kebiasaannya pemilik premis kedai kopi dan kedai runcit terpaksa menutup perniagaan ketika air mencapai paras bahaya lagipun kami mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Ujarnya, dia berharap fenomena banjir di Ulu Tembeling tidak berulang lagi supaya aktiviti perniagaan di dataran kampung itu pulih seperti biasa.-KOSMO! ONLINE














