fbpx
Poster yang dimuat naik oleh PHM

‘Blind box’ seperti judi ringan – PHM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Fenomena pembelian ‘blind box’ yang semakin popular ketika ini bukan sekadar trend mainan atau koleksi, sebaliknya berkait rapat dengan cara otak manusia berfungsi dan membuat keputusan.

Public Health Malaysia (PHM) dalam satu kenyataan berkata, tarikan utama ‘blind box’ terletak pada elemen kejutan apabila pembeli tidak mengetahui barangan yang bakal diperoleh, ia melepaskan dopamin yang lebih tinggi berbanding pembelian biasa.

“Bila kita beli sesuatu yang kita tak tahu hasilnya, otak lepaskan dopamin lebih tinggi. Rasa berdebar sebelum buka, rasa ‘menang’ bila dapat reka bentuk yang cantik dan rasa ‘nak cuba lagi’ bila tak dapat yang diidamkan,” ujarnya.

Mekanisme tersebut sebenarnya hampir sama dengan perjudian ringan, namun dibungkus dalam bentuk yang kelihatan comel, selamat dan tidak berbahaya.

PHM berkata, taktik pemasaran seperti barangan langka dan edisi terhad pula dimanfaatkan sepenuhnya kerana otak manusia sangat sensitif terhadap rasa kehilangan atau fear of missing out (FOMO).

“Bila kita rasa ‘kalau tak beli sekarang, nanti tak ada’, logik kewangan terus duduk belakang. Yang depan ialah FOMO,” jelasnya.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila pembeli mula terdorong untuk melengkapkan koleksi selepas membeli satu atau dua unit, fenomena yang dikenali sebagai sunk cost fallacy.

“Lagi banyak kita dah labur, lagi susah untuk berhenti, walaupun kita sedar kita tak perlukan semua,” katanya.

PHM menjelaskan pembaziran pada tahun 2025 bukan lagi tertumpu kepada barangan mahal, sebaliknya pembelian kecil yang dilakukan berulang kali tanpa disedari.

“Ia nampak tak salah, tapi bocor perlahan-lahan,” ujarnya.

Isu tersebut bukan berpunca daripada kelemahan disiplin individu semata-mata, sebaliknya berpunca daripada sistem yang direka khas untuk pengaruhi emosi dan psikologi pengguna.

“Ini bukan soal lemah disiplin. Ini soal sistem yang memang direka untuk menekan butang otak kita.

“Bila kita faham mekanisme ini, barulah kita boleh pilih. Nak terus beli kerana emosi, atau nak beli dengan sedar. Sedikit sedar, banyak jimat,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN