PETALING JAYA – Impian sekumpulan jemaah umrah untuk menunaikan ibadah berkenaan tidak kesampaian apabila didakwa berdepan pelbagai masalah sewaktu hendak berlepas ke Tanah Suci.
Menerusi hantaran Thread Siti.Skitchen, wanita itu mendakwa sepatutnya dia dan ibunya berlepas ke Tanah Suci pada 19 Disember lalu.
“Tapi kami tidak diterbangkan, visa tak buat, tiket pesawat tak ada, hotel pun tak tempah. Akhirnya saya dan mak tidak diterbangkan untuk menunaikan umrah.
“Minta jasa baik semua tularkan video ini, sebab kami tidak mahu jemaah yang berikut akan terkena nasib seperti kami,” dakwanya.
Pada video berkenaan, kelihatan seorang lelaki dipercayai daripada agensi yang menguruskan perjalanan kumpulan umrah tersebut dan dia sedang menjelaskan berhubung perkara itu kepada mereka.
Kedengaran suara seorang wanita dipercayai pemilik Thread tersebut memberitahu, dia telah membayar sebanyak RM9,990 untuk menunaikan ibadah umrah berkenaan.
Menjawab pertanyaan pengguna Thread lain, Siti.Skitchen mendakwa telah menyiasat terlebih dahulu sebelum mendaftar nama dengan agensi tersebut.
“Rasa dah cukup mahal pakej ini. Saya siasat sebelum daftar. Sebelum ini elok bawa jemaah,” katanya.
Video itu mendapat pelbagai maklum balas, selain ada yang menasihati untuk mendapatkan agensi berdaftar sekali gus dipercayai.
“Sebab tu jangan teruja nak pergi umrah dengan tawaran syarikat yang tak ada nama. Mahal sikit pun tak apa. Pilihlah syarikat yang dah lama dan berpengalaman. Jangan berurusan dengan ejen kat kampung. Pergi berurusan terus ke pejabat urusan mereka,” komen Zacharyariffin.
“Lain kali cari agensi yang dipercayai. Jangan main sebat pasal pakej murah,” kata Encik Pazil.
“Buat je laporan polis,” kata Rozian Saini. – KOSMO! ONLINE














