PETALING JAYA – Niat seorang pempengaruh media sosial untuk membantu seorang wanita yang mendakwa berada dalam kesusahan berakhir dengan rasa terkilan apabila dia menyedari dirinya dipercayai telah diperdaya.
Menerusi perkongsian di Facebook, dia dan isterinya pada mulanya ingin menukar emas sebelum didatangi seorang wanita yang menunggang motosikal bersama dua orang anak sejurus selepas mereka memarkir kenderaan.
Tambahnya, wanita berkenaan meminta bantuan kewangan dengan alasan suaminya baru meninggal dunia serta anak-anaknya tidak makan sejak dua hari lalu.
“Si ibu bagitahu, dia perlukan sedikit duit. Suami dia baru meninggal dan anak-anak dia lapar. Sudah dua hari tidak makan. Si ibu bagitahu dengan raut wajah yang sedih. Saya pun bagi la sedikit duit kepada si ibu sebab dia dalam kesusahan. Dalam kita susah-susah ni, ada yang lagi susah dari kita. Janji ikhlas,” katanya.
Bagaimanapun, pasangan tersebut terkejut apabila melihat wanita sama masuk ke sebuah kedai emas bersama anak-anaknya.
Lebih mengejutkan, jurujual memaklumkan wanita berkenaan bukan datang untuk menukar emas, sebaliknya membeli barang kemas baharu.
Situasi tersebut membuat pasangan berkenaan terdiam dan hanya mampu menahan perasaan kecewa selepas menyedari mereka telah diperdaya.
“Tuhan nak tunjuk sekelip mata saja jenis orang tidak jujur dan menipu ni. Lepas ni saya akan lebih berhati-hati dan berharap kalau nak membantu pun biarlah dapat bantu orang yang betul-betul susah dan jujur,” tambahnya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya turut berkongsi pengalaman dan nasihat untuk lebih berhati-hati dalam memberi bantuan.
“Sebab tu kita sekarang susah sangat-sangat nak percayakan orang yang minta sedekah di tepi jalan atau dalam telefon ke. Lebih baik kita pergi bagi dekat rumah anak yatim, tentu-tentu sudah betul salurannya,” komen Fauziah.
“Sekarang orang sanggup menipu untuk dapat duit, suami hidup cakap sudah mati. Macam-macam la alasan,” kata Rayyan.
“Disebabkan perempuan tu, nanti kalau ada orang yang betul-betul perlukan pertolongan, betul-betul susah, mereka pula jadi mangsa tidak ada orang nak tolong! Kalau saya, saya akan minta balik duit tu,” komen Mia Zara. – KOSMO! ONLINE














