fbpx
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth, pagi tadi. Foto oleh DANIAL SAAD

[VIDEO] Anak lelaki mangsa maut kebakaran didakwa membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Anak lelaki kepada wanita yang maut dalam kebakaran bersama anak angkatnya berusia enam tahun pada 10 Disember lalu didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini atas dua tuduhan membunuh.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh, Daniel Qayyum Kamalrolzlan, 23, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Balqis Roslin.

Terdahulu, tertuduh dilihat bersahaja sambil menggoyangkan kaki sepanjang prosiding berlangsung. Mengikut pertuduhan, juruukur itu didakwa membunuh Hayani Yaakob, 51, dan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di No. 4, Lorong Nakhoda 5, Taman Teluk Air Tawar, Butterworth pukul 9.45 pagi, 10 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas, Inspektor Nor Idayu Yusoff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon tiada jaminan diberikan kerana kesalahan tersebut merupakan jenayah bunuh. Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 29 Januari depan untuk sebutan semula kes dan mengemukakan laporan bedah siasat.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan pemuda berusia dalam lingkungan 20-an yang direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan disahkan tidak mempunyai rekod perubatan psikiatri.

Dalam kejadian tersebut, mayat dua mangsa rentung ditemukan secara bersebelahan pada jarak satu meter di bahagian ruang tamu, dekat pintu keluar utama.

Anak lelaki wanita itu pula ditemukan selamat di bahagian pintu dapur dan mengalami kecederaan akibat dihempap bumbung kediaman itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI