PETALING JAYA – Isu pengibaran bendera Malaysia di kawasan penempatan sementara mangsa banjir di Aceh Tamiang, Indonesia yang tular di media sosial telah mencetuskan pelbagai reaksi.
Menerusi perkongsian di Instagram oleh pendakwah Imam Muda Asyraf atau nama sebenarnya, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, dia menjelaskan kehadiran mereka ke Aceh adalah atas inisiatif peribadi dan kemanusiaan tanpa membawa sebarang agenda kenegaraan atau politik.
Menurutnya, mereka hanya terdiri daripada tiga anak muda dari Malaysia yang hadir untuk menyampaikan bantuan asas kepada penduduk terjejas banjir di beberapa kawasan termasuk Idi Rayeuk, Sapta Marga dan Aceh Tamiang.
“Bendera Malaysia yang diikat pada van kami hanyalah sebagai penanda identiti bahawa kami datang dari Malaysia dan bukan untuk diberikan atau digunakan sebagai simbol apa-apa,” jelasnya di ruangan kapsyen Instagram.
Katanya, bendera tersebut diberikan semata-mata atas dasar kemanusiaan untuk dijadikan alas bagi menahan kesejukan tanpa sebarang niat untuk dikibarkan memandangkan penduduk berkenaan tidak memiliki keperluan asas seperti selimut atau alas.
“Tanpa pengetahuan dan jangkaan kami, bendera yang diberikan telah dipacakkan sebagai lambang penghargaan dan ucapan terima kasih. Kami tidak menyangka tindakan spontan itu akan disalah tafsir sebagai provokasi atau menimbulkan ketegangan diplomatik,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pendakwah bebas, PU Rahmat turut tampil menerusi perkongsian di TikTok untuk memaklumkan bahawa bendera berkenaan telah diturunkan.
“Kami tiada niat untuk menaikkan bendera Malaysia untuk mencetuskan ketegangan diplomatik,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Terdahulu, satu rakaman video yang memaparkan bendera Malaysia berkibar di kawasan kem penempatan sementara mangsa banjir di Aceh tular di media sosial sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna. – KOSMO! ONLINE














