PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Athalia mengakui masih terkejut dengan gangguan jijik suami seorang pelakon wanita terkenal, baru-baru ini.
Menurut Athalia, 22, yang juga anak kepada penyanyi Sharifah Zarina, meski masih trauma, dia berusaha sedaya upaya untuk tidak mendedahkan identiti lelaki tersebut meski diasak dengan pertanyaan pelbagai pihak.
“Minggu saya dipenuhi dengan orang yang bertanya mengenai identiti lelaki itu tetapi saya cuba sedaya upaya untuk tidak mendedahkannya.
“Bukan kerana saya tidak mahu berkongsi tetapi perkara ini akan sangat mengejutkan memandangkan saya sudah lama rapat dengan keluarganya,” katanya dalam platform Threads hari ini.
Menerusi perkongsian sama, bekas peserta program Talk To My Manager itu masih dibelenggu tanda tanya mengapa individu berkenaan tergamak melakukan perkata tersebut terhadapnya.
“Perkara yang berlaku baru-baru ini membuatkan saya rasa keliru, mengapa dia sanggup berbuat demikian kepada saya berbanding orang lain di luar sana.
“Dalam erti kata lain, saya boleh dianggap seperti anak mereka sendiri dan perkara yang berlaku benar-benar menjijikkan serta menakutkan,” ujarnya.
Terdahulu, Sharifah Zarina berang apabila Athalia kerap diganggu suami seorang selebriti wanita popular sejak akhir-akhir ini.
Dia juga memberi amaran bagi memastikan individu berkenaan berhenti mengganggu Athalia selain enggan anak sulungnya itu dilabel penyondol rumah tangga orang. – KOSMO! ONLINE














