REMBAU – Ahli keluarga mahu pembunuh Suri Narudin, 53, menerima hukuman setimpal atas perbuatan kejam yang dilakukan terhadap mangsa.
Anak saudaranya yang mahu dikenali sebagai Mizan, 41, berkata, ibu saudaranya seorang yang sangat baik, peramah dan tidak pernah berkira sama ada dengan keluarga mahupun rakan selain mengenali suspek sejak beberapa tahun lalu.
“Jadi saya berdoa agar si pelaku didakwa setimpal dengan apa yang dia dah buat. Memang agak sedih sebab Mak Su (panggilan kepada Suri) baik orangnya dan dia mudah percaya dengan orang. Dia pun tak pernah berkira. Nak pergi ke mana-mana pun dia bawa,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Menurut Mizan, mereka sekeluarga dimaklumkan mengenai pengesahan jasad Suri pada pukul 12 tengah hari tadi dan lokasi pengebumian wanita itu akan diputuskan oleh adik-beradik arwah.
Katanya, mereka sekeluarga mula mengesyaki mayat wanita yang disumbat dalam beg tersebut adalah milik Suri selepas ternampak bagasi yang digunakan oleh ibu saudaranya.
Malah ketika ditanya mengenai pencarian keluarga sebelum mayat Suri ditemukan, dia menyatakan tidak tidur lena dan turut mendapatkan khidmat pihak lain untuk menjejaki lokasi ibu saudaranya.
Mizan bagaimanapun berpuas hati dengan tindakan pantas dan siasatan pihak polis berhubung kes terseubt sehingga pengesahan mayat ibu saudaranya dilakukan. – KOSMO! ONLINE














