FEZ – Nigeria memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Tanzania pada aksi Kumpulan C di Stadium Fez awal pagi semalam.
Masing-masing satu gol menerusi Semi Ajayi dan Ademola Lookman memastikan skuad Super Eagles meraih tiga mata berharga dalam perlawanan itu sementara gol Tanzania dijaringkan Charles M’Mombwa.
Walaupun mencatat kemenangan, namun jurulatih Nigeria, Eric Chelle masih belum berpuas hati dengan aksi ditampilkan dan menggesa anak-anak buahnya supaya menunjukkan peningkatan menjelang perlawanan akan datang.
“Kami perlu melakukan analisis terhadap perlawanan hari ini (semalam) walaupun ada banyak perkara positif. Kami bermain cukup di separuh masa pertama tetapi ia sedikit menurun selepas waktu rehat.
“Kami memberikan peluang kepada Tanzania untuk merapatkan kedudukan dengan melakukan dua kesilapan. Bagaimanapun, saya tetap gembira kerana kami berjaya menamatkan perlawanan dengan tiga mata,” katanya.
Beliau menegaskan, mereka tidak boleh terus bermain secara tidak konsisten seperti itu memandangkan Nigeria bakal berdepan aksi sukar selepas ini menjelang pertemuan menentang Tunisia.
“Perlawanan menentang Tunisia akan menjadi satu aksi yang cukup sukar kerana mereka adalah pasukan besar. Kami perlu memperbaiki prestasi, terutamanya dari segi pertahanan dan ketika melakukan serangan,” ujar Chelle. – AGENSI














