ALOR SETAR – Seorang bapa mendakwa anak perempuannya berusia 15 tahun mengalami gangguan seksual apabila diminta mengurut badan jurulatih sukan sejak beberapa bulan lalu.
Menurut lelaki terbabit yang berusia lingkungan 40-an, susulan kejadian itu, dia bertindak membuat laporan polis di sini pada Sabtu lalu.
“Saya dan isteri mengesan perubahan ketara pada anak apabila dia enggan lagi menyertai sukan itu yang mana anak saya sudah terlibat sejak tiga tahun lalu.
“Kami hairan kenapa dia tiba-tiba berubah, sedangkan dia memang minat dengan sukan tersebut sehingga meraih pelbagai pingat dan anugerah dalam pelbagai kejohanan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, anaknya kemudian menceritakan bahawa jurulatih terbabit ada memintanya mengurut badannya pada sesi latihan.
Menurutnya, anaknya hanya menyedari perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku setelah mengikuti ceramah pencegahan seksual yang dianjurkan pihak sekolah pada September lalu.
“Bayangkan selama beberapa bulan ini anak tak berani cerita perkara sebenar. Selepas dapat tahu, kami terus buat laporan polis,” ujarnya.
Jelasnya, selain laporan polis, aduan turut dibuat terhadap jabatan lain yang terlibat termasuk pertubuhan sukan tersebut kerana jurulatih itu mempunyai ramai anak murid.
“Tujuan saya tampil adalah untuk mengelak spekulasi serta penyebaran maklumat palsu dalam kalangan masyarakat. Saya ingin tegaskan kes ini tidak melibatkan perbuatan rogol atau serangan seksual, namun sentuhan fizikal yang tidak sesuai dan menyebabkan anak saya rasa sangat tidak selesa.
“Penentuan salah atau benar akan ditentukan oleh pihak polis melalui siasatan dan tindakan undang-undang yang sewajarnya tetapi mengapa seorang jurulatih lelaki boleh meminta pelajar perempuan bawah umur untuk mengurut badannya. Adakah ini selaras dengan prinsip perlindungan kanak-kanak?” soalnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE














