fbpx
Tangkap layar rakaman CCTV LLM memaparkan aliran trafik masih lancar di kebanyakan laluan di lebuh raya utama pagi ini.

Diskaun tol: Kenderaan mula bertambah sejak pukul 9 pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aliran trafik di lebuh raya-lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan lancar pada hari kedua tawaran diskaun tol 50 peratus sempena sambutan Krismas, meskipun terdapat beberapa lokasi mengalami pergerakan perlahan akibat kemalangan dan pertambahan kenderaan.

Berdasarkan laporan Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), setakat 9.46 pagi, cuaca di kebanyakan kawasan adalah baik, sekali gus membantu kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya.

Menurut LLM, trafik bergerak perlahan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dari Slim River ke Sungkai susulan kemalangan di Kilometer (KM) 355.4 yang menyebabkan lorong kecemasan terhalang dan Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar.
“Kesesakan turut berlaku dari Seberang Jaya ke Perai dan Sungai Buloh ke Bukit Lanjan. Di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), trafik dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Shah Alam ke Persimpangan Shah Alam.

“Di Johor, ia melibatkan laluan Sedenak ke Kulai dan Setia Tropika ke Pasir Gudang, selain kesesakan di Tambak Johor dari Johor Bahru ke Woodlands di kedua-dua arah dipercayai akibat pergerakan keluar masuk sempena cuti perayaan,” lapor LLM.

Sementara itu, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Damansara-Puchong dan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang turut mencatatkan trafik perlahan di beberapa lokasi kebanyakannya berpunca akibat kemalangan kecil dan peningkatan jumlah kenderaan sejak pukul 9 pagi.

Secara keseluruhan keadaan trafik masih terkawal walaupun jumlah kenderaan meningkat berikutan tawaran diskaun tol 50 peratus yang dimanfaatkan orang ramai untuk pulang ke kampung atau bercuti sempena Krismas dan cuti sekolah.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan agar merancang perjalanan, mematuhi had laju ditetapkan, menjaga jarak selamat dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus pada 23 dan 24 Disember sempena sambutan Krismas pada 25 Disember.

Diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali di pintu masuk negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN