HULU TERENGGANU – Seorang pemuda berusia 21 tahun nyaris maut selepas kereta jenis Proton Preve dinaikinya tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh sebuah rumah di Kampung Chepoh di sini, malam tadi.
Dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 17, Jalan Kuala Berang–Tajin–Telemong pada pukul 10.30 malam itu, lelaki tersebut yang tiada lesen memandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, lelaki tersebut dikatakan dalam perjalanan ke Tanjung Putat dari Telemong di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Preve yang dipandunya dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh sebuah rumah penduduk di Kampung Chepoh.
“Rempuhan itu menyebabkan sebahagian struktur bumbung dan dinding rumah runtuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sharudin berkata, penghuni rumah tersebut bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemuda itu tidak memiliki lesen memandu yang sah. – KOSMO! ONLINE














