PETALING JAYA – Impian menganjurkan konsert Sheila on 7 (SO7) musnah, penyanyi Ariff Bahran mendakwa wang RM425,000 miliknya dan beberapa rakan ‘lesap’ ditipu pengelola.
Ariff atau Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 27, berkata, mengikut perancangan asal, persembahan mega membabitkan kumpulan popular Indonesia itu sepatutnya diadakan pada 2024.
“Saya dan rakan-rakan terlibat dalam kes penipuan berjumlah RM425,000. Penganjur acara sepatutnya membawa Sheila On 7 tahun lalu untuk sebuah konsert tetapi gagal.
“Mereka bersetuju untuk bayar balik, namun sehingga hari ini wang kami masih belum dipulangkan,” katanya dalam perkongsian di Threads yang dimuat naik semula penyanyi rap dan aktivis, Caprice.
Menurut penyanyi lagu Kata Akhirmu itu, perkara tersebut didedahkan selepas beberapa rakannya kini berdepan masalah akibat penipuan berkenaan.
Kata Ariff, tindakan yang diambilnya bukan untuk meraih populariti sebaliknya demi mendapatkan keadilan selain mempercepatkan proses penyelesaian kes itu.
“Kalau kau tengah tengok video ini, aku nak kau tahu yang kawan aku baru sahaja bercerai. Seorang lagi rakan pula keretanya ditarik dan dia terpaksa gadai emas.
“Aku sangat berharap kau dapat menyelesaikan perkara ini dan membayar semula wang tersebut supaya aku tak perlu buat satu lagi video untuk mengulas kes ini.
“Tolong aku dan kawan-kawan. Viral bukan untuk glamour, tetapi supaya kes ini menjadi berprofil tinggi dan dapat dipercepatkan. Aku merayu,” ujarnya.
Difahamkan, Ariff meminta bantuan Caprice untuk menjadi orang tengah bagi pihaknya serta mangsa lain yang didakwa tertipu selepas bersetuju bertindak sebagai penaja konsert itu. – KOSMO! ONLINE














