KANGAR – Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan negeri Perlis kini menyerahkan sepenuhnya spekulasi hangat mengenai pertukaran Menteri Besar kepada parti masing-masing.
Sumber dalaman PN berkata, buat masa ini isu mengenai pertukaran Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli diserahkan kepada pimpinan parti masing-masing susulan spekulasi hangat yang tercetus semalam.
“Pada kami, kita ada pimpinan parti, PN mempunyai ketuanya, Bersatu ada pengerusi dan Pas juga ada Pesuruhjaya negeri. Jadi kami serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan. Isunya bukan menukar kerajaan, kita tidak akan berbuat demikian, ia lebih kepada isu menukar individu dan terserah kepada parti dan gabungan politik untuk membuat keputusan,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam kecoh mengenai desas-desus pertukaran Mohd Shukri sebagai MB Perlis selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikatakan menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak istana kerana hilang kepercayaan kepada pimpinan ADUN Sanglang itu.
Antara lima nama yang disebut adalah dari wakil rakyat Bersatu manakala tiga lagi adalah dari parti Pas dari tiga kawasan Parlimen di negeri itu. – KOSMO! ONLINE














