GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menjalankan siasatan tegas terhadap kes eskot haram termasuk melibatkan pihak agensi kerajaan yang tidak mendapatkan kebenaran rasmi.
Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, ini susulan aduan yang diterima pihaknya berhubung aktiviti iringan haram yang semakin berleluasa di jalan-jalan utama termasuk di lebuh raya.
“Situasi ini juga dikatakan berlaku terhadap beberapa agensi kerajaan yang dilihat menggunakan eskot atau lampu khas untuk membuka laluan tanpa prosedur yang sah.
“Ini kerana, semua pihak sedia maklum bahawa kuasa eskot hanya sah jika dijalankan mengikut undang-undang dan arahan rasmi.
“Bagi beberapa agensi penguat kuasa, kuasa ini dibenarkan melalui arahan Ketua Pengarah, bantuan antara agensi penguat kuasa, atau arahan khas kerajaan manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula berasaskan Kanun Prosedur Jenayah, Akta Polis 1967, perintah mahkamah, undang-undang khas serta SOP dalaman PDRM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, hasil aduan yang diterima, terdapat beberapa situasi di mana agensi kerajaan menggunakan lampu khas untuk membuka laluan.
“Tindakan ini sememangnya menekankan semua pihak untuk mematuhi prosedur yang ditetapkan demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Gesaan ini juga bertujuan untuk menjamin keselamatan dan integriti perkhidmatan awam, selain memastikan eskot pegawai dijalankan mengikut peraturan yang jelas.
“Kita berharap semua agensi kerajaan memastikan setiap eskot pegawai dilakukan mengikut garis panduan rasmi dan hanya bagi tugasan sah,” ujarnya.
Justeru tambahnya, tindakan tersebut bukan untuk menuding jari sebaliknya bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan semua pengguna jalan raya dapat menggunakan laluan secara adil dan selamat. -KOSMO! ONLINE














