PORT DICKSON – Sikap segelintir individu yang suka memberi makanan kepada kera dan monyet terutamanya di Jalan Air Kuning-Si Rusa dekat Sungai Menyala di sini, menyebabkan haiwan itu sering berkeliaran di jalan utama itu.
Keadaan itu turut mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.
Seorang pengguna jalan raya yang ingin dikenali Ahmad, 30-an berkata, dia sering menggunakan laluan tersebut dan sentiasa berhati-hati ketika melalui Sungai Menyala kerana bimbang terlanggar kera atau monyet.
“Kebiasaannya pada waktu pagi dan petang, ada orang yang datang berhentikan kereta dan memberi makanan kepada binatang itu.
“Sebab itu di kawasan ini, kera serta monyet duduk di tengah jalan. Mungkin sudah terbiasa menunggu makanan,” katanya kepada Kosmo!.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Hasnor Abd Hamid pula berkata, papan tanda larangan memberi makanan kepada kera dan monyet telah dipasang di lokasi itu dan individu yang ingkar boleh dikompaun RM250.
“Antara makanan yang biasa diberikan seperti roti, biskut dan buah-buahan. Kita harap, orang ramai boleh mematuhi larangan ini.
“Jangan berikan makanan kepada monyet, kera atau haiwan yang lain kerana boleh menyebabkan kekotoran, mengganggu ketenteraman dan keselamatan, boleh menambah populasi haiwan serta boleh menyebarkan penyakit,” katanya.














