fbpx
Watak seperti Si Kitul, Raja Mendeliar dan Nina Chatu menjadi saluran paling berkesan kerana mereka mempunyai akses, kedudukan dan kepercayaan. Gambar Janaan AI

Walau baka hilang, ‘Si Kitul’ tetap ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN sejarah Melayu tidak pernah sunyi daripada pengajaran, cuma kita sering memilih untuk tidak mendengarnya.

Kejatuhan Melaka pada 1511 bukan bermula dengan meriam Portugis, bukan kerana askar dan pahlawan Melayu tidak kuat, tetapi dengan fitnah yang dipercayai tanpa usul periksa.

Kitab Sejarah Melayu merekodkan bahawa Raja Mendeliar dan Si Kitul sekeluarga dihukum bunuh, malah mayat serta tapak rumah mereka dibuang ke laut.

Itu merupakan satu hukuman simbolik Melayu bagi memadamkan legasi pengkhianatan. Namun, walaupun baka pengkhianat itu sudah terhapus, wataknya tetap kekal sehingga sekarang.

Seorang penulis, Ibnu Hasyim menjelaskan bahawa Portugis pada awalnya datang ke Melaka untuk berdagang, bukan menjajah, malah hubungan awal dengan Bendahara Tun Mutahir berlangsung secara diplomatik dan beradab.

Namun, beliau menegaskan bahawa keadaan berubah apabila orang Melayu sendiri berpecah dan bergaduh sesama sendiri kerana emas dan wanita, lalu membuka ruang kepada kuasa luar mengambil kesempatan.

Ibnu Hasyim turut menyindir bahawa Portugis akhirnya sedar lebih mudah menawan Melaka melalui orang dalam daripada menyerang dari luar.

“Watak seperti Si Kitul, Raja Mendeliar dan Nina Chatu menjadi saluran paling berkesan kerana mereka mempunyai akses, kedudukan dan kepercayaan.

“Mereka bukan pahlawan, tetapi tahu rahsia yang menentukan jatuh bangunnya sebuah empayar,” tulisnya dalam satu karya beliau.

Tambahnya, di sinilah bermula tragedi Melaka menjadi lengkap. Fitnah terhadap Bendahara Tun Mutahir diterima tanpa siasatan, konflik peribadi mengatasi kebijaksanaan negara dan Melaka kehilangan kepimpinan terpentingnya sebelum serangan besar Portugis pada 1511.

Seperti apa yang berlaku kepada beberapa empayar lain, Melaka turut berlaku sama apabila pertikaian dalaman dibiarkan, orang luar hanya perlu menunggu masa.

Empayar tidak tumbang kerana musuh terlalu kuat, tetapi kerana kawan yang ada terlalu mudah dipercayai.

Pengkhianat tidak datang dengan bendera asing, tetapi dengan cerita yang kedengaran munasabah, alasan yang nampak logik dan kepentingan yang disembunyikan.

Itulah sebabnya nama Si Kitul, Raja Mendeliar dan Nina Chatu perlu diingat. Bukan untuk membangkitkan kebencian, tetapi sebagai peringatan keras bahawa jika sejarah ini gagal difahami.

Seperti amaran yang pernah disampaikan Raja Haji, kita tidak akan dijajah oleh orang lain tetapi kita akan jatuh kerana kesilapan sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN