BANGKOK – Kunci utama kejayaan kontinjen negara mencipta pencapaian luar biasa pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 adalah persediaan yang rapi dilakukan oleh para atlet sebelum saingan bermula.
Perkara itu didedahkan oleh ketua kontinjen (CDM), Nurul Huda Abdulla yang mengakui persiapan yang dilakukan kali ini jauh lebih teratur apabila atlet dihantar menyertai lebih banyak pertandingan kompetitif sebelum ke Thailand.
Menurutnya, persiapan fizikal dan mental yang benar-benar cukup menyaksikan atlet negara berjaya membina keyakinan diri yang tinggi untuk bersaing sekali gus berjaya membawa pulang 231 pingat.
“Atlet kita, seperti yang anda lihat sepanjang dua minggu lalu, telah bertanding dengan azam dan semangat yang tinggi merentasi kedua-dua pertandingan di Bangkok dan di Chonburi. Ia mencerminkan bukan sahaja prestasi atlet, tetapi juga kedalaman bakat untuk semua sukan, daya tahan di bawah tekanan dan kepercayaan dalam kalangan kita semua.
“Kita menang dalam sukan teras, mencipta kejutan dalam beberapa disiplin baharu dan jumlah 231 pingat keseluruhan mencerminkan kekuatan persediaan dan pelaksanaan kita.
“Apabila kami melawat atlet sebelum Sukan SEA, maklum balas yang kami terima adalah persediaan menuju ke temasya ini adalah jauh lebih baik kali ini.
“Mereka dihantar untuk lebih banyak pertandingan, mereka rasa lebih bersedia, semangat berpasukan sangat tinggi, dan kami tahu aura positif serta tenaga dalam kalangan atlet dan pegawai itu ada.
“Jadi kami tahu ini adalah permulaan kepada sesuatu yang istimewa terutama sekali sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 nanti,” ujarnya.
Nurul Huda turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), khususnya Hannah Yeoh atas sokongan padu dan peruntukan sumber yang menjadi pemangkin kepada setiap kejayaan yang dituai di bumi Thailand.
Sambil melabuhkan tirai dengan nada penuh emosi, CDM menegaskan bahawa kejayaan ini bukan milik individu, sebaliknya adalah milik seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan wira dan wirawati negara dari tanah air.














