KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan enam saksi setakat ini membabitkan kes amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun di sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) di Wangsa Maju, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya sedang menjalankan sisatan dan masih belum dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa lain terlibat dalam kes berkenaan.
“Setakat ini siasatan masih diteruskan dan sedang diperhalusi. Siasatan awal oleh pihak polis juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Fadil, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan kadar segera untuk tindakan lanjut.
“Reman terhadap suspek selama enam hari bermula semalam hingga Khamis depan,” ujarnya.
Semalam Kosmo! melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun disyaki terlibat dalam kes amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun di sebuah SRA di Wangsa Maju.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, laporan berhubung kes berkenaan diterima pada pukul 4.16 petang, Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE














