PETALING JAYA – Penyanyi Siti Nordiana mengakui tidak meletakkan kriteria terlalu tinggi dalam pencarian pasangan hidup malah hanya mengharapkan seorang lelaki yang mampu menerima dirinya seadanya serta menghadirkan rasa tenang dalam sebuah hubungan.
Ujar Nordiana, atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 41, keserasian dan keselesaan menjadi keutamaan berbanding status atau kesempurnaan luaran.
“Secara jujurnya, saya tak kisah sangat. Saya cuma harap dia boleh terima saya seadanya.
“Bila bersama, saya rasa selesa dan tak perlu berpura-pura atau jadi orang lain,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Pelantun lagu Nisan Cinta itu turut menegaskan kehidupan berumah tangga menuntut kefahaman mendalam terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing, bukan semata-mata cinta.
“Apabila bergelar suami isteri, masing-masing kena pandai melaksanakan tanggungjawab.
“Dalam masa sama, keselesaan diri juga perlu dijaga supaya hubungan kekal harmoni,” ujarnya.
Tambah penyanyi yang mesra disapa Nana itu, kriteria tersebut menjadi doa dan harapan peribadinya dalam menanti jodoh terbaik.
“Itu saja kriteria saya.
“Moga Allah permudahkan dan berikan terbaik, insya-Allah,” jelasnya.
Pandangan jujur ibu satu anak itu mencuri perhatian netizen apabila rata-rata netizen menyifatkan kenyataannya sebagai matang dan membumi.
“Jawapan paling realistik. Bahagia tak perlu mewah, cukup rasa diterima,” tulis seorang netizen.
“Kriteria ringkas tapi besar maknanya. Semoga Nana bertemu jodoh baik,” komen pengguna media sosial lain.
“Inilah definisi cinta sebenar, selesa tanpa pura-pura. Moga Nana dikurniakan jodoh yang baik-baik selepas ini,” kata pengikut.
Untuk rekod, Siti Nordiana pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Allahyarham Faizal Yusof pada April 2006 sebelum berpisah pada 2009.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. – KOSMO! ONLINE














