JAKARTA – Timbalan Ketua Suruhanjaya IV Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Alex Indra Lukman menyatakan bahawa penduduk di Sumatera Barat dan Aceh tidak sepatutnya mengambil kayu balak yang hanyut akibat banjir, lapor portal berita nentralnews.com semalam.
Namun, katanya, pengurusan kayu selepas banjir tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa peraturan jelas.
Ia perlu dirujuk kepada Undang-Undang Nombor 18 Tahun 2008 mengenai Pengurusan Sisa.
“Kita melihat penduduk menjadikan kayu pelbagai saiz dan jenis sebagai barangan bernilai ekonomi seperti papan dan seumpamanya.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana pengendaliannya mesti merujuk kepada Undang-Undang Nombor 18 Tahun 2008 mengenai Pengurusan Sisa,” ujarnya.
Kayu pelbagai saiz dan jenis itu kini banyak digunakan oleh penduduk sebagai bahan binaan untuk membaiki rumah selepas banjir serta tanah runtuh berlaku hujung bulan lalu.
Alex menjelaskan bahawa Peraturan Pemerintah Nombor 27 Tahun 2020 sebagai panduan teknikal Undang-Undang Pengelolaan Sampah memberikan ruang kepada kerajaan pusat mahupun daerah untuk memanfaatkan sisa akibat bencana menjadi aktiviti bernilai ekonomi.
Beliau menyarankan agar pihak berkuasa tempatan menggunakan perkhidmatan pihak ketiga untuk membersihkan timbunan kayu tersebut supaya proses pembersihan dapat dilakukan pada kadar segera.
Sementara itu, di Aceh, Gabenor Muzakir Manaf juga melarang mana-mana pihak mengambil kayu balak yang dibawa banjir kecuali untuk kepentingan kecemasan atau sebagai barang bukti penyelidikan. – AGENSI
.














