fbpx
Syed Saddiq

Rayuan pendakwaan tidak bermerit – Peguam Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pihak pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan rayuan pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar itu bagi sabitan dan hukuman berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) adalah tidak bermerit dan wajar ditolak.

Berdasarkan surat daripada firma guaman Mustafa Ling & Co yang dihantar kepada kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam, pembelaan memohon panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq.

Mereka merujuk kepada nasihat Presiden Mahkamah Rayuan selaku ketua panel tiga hakim pada 12 Disember lalu yang meminta pihak pendakwaan selaku perayu dan pembelaan sebagai responden menilai semula kedudukan masing-masing mengenai prosiding terbabit.

Katanya, responden mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan menghargai kebijaksanaan Hakim-Hakim dalam memberikan cadangan tersebut.

“Pihak kami mendalami nasihat dan pandangan bijaksana yang diutarakan Presiden Mahkamah Rayuan.

“Pihak kami dengan penuh rasa hormat, takzim dan rendah diri sesungguhnya menyatakan rayuan perayu (pendakwaan) adalah tidak bermerit dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Yang Amat Arif, Yang Arif-Yang Arif Hakim-hakim panel untuk membuat keputusan yang bijaksana serta adil,“ katanya.

Sebelum ini, Peguam Negara dalam satu surat tetap meneruskan rayuan bagi empat pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan pihak-pihak dalam rayuan kes itu supaya meneliti dan mempertimbang semula rayuan pendakwaan tersebut. Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang mengetuai panel tiga hakim mencadangkan pihak pendakwaan berbincang bagi mencapai kata sepakat sama ada rayuan itu wajar diteruskan.

Hakim Abu Bakar menyatakan, ketiga-tiga hakim yang menganggotai panel tersebut akan menulis alasan penghakiman sama ada rayuan dibenarkan atau ditolak. Beliau turut mengarahkan pendakwaan memfailkan penghujahan bertulis tambahan dalam tempoh seminggu diikuti hujahan tambahan dibalas seminggu kemudian.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 33, didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada (ketika itu), Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Dia turut didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad Taman Pandan Jaya.

Syed Saddiq turut berdepan dua tuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Sebelum ini, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas empat tuduhan menerusi keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan lelaki itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI