fbpx
Hishamuddin (tengah) bersama keluarga mangsa pemerdagangan manusia pada sidang akhbar di Pejabat MHO, hari ini.

Ibu dakwa anak diseksa dengan renjatan elektrik, dipukul sindiket 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Diseksa dengan renjatan elektrik, dipukul menggunakan batang besi dan dibiarkan kebuluran selama berhari-hari.

Itu nasib yang didakwa dialami beberapa anak muda Malaysia yang kini dipercayai terperangkap dalam sindiket penipuan di Kemboja, sekali gus menghancurkan perasaan ibu bapa mereka yang kini hidup dalam ketakutan dan penantian tanpa kepastian.

Seorang ibu, mahu dikenali sebagai Ooh, berusia 50-an, mendakwa anak lelakinya berusia 18 tahun diperdaya sindiket dengan janji pekerjaan sebelum dibawa ke Kemboja pada 6 Disember lalu.

Menurutnya, anaknya dikenali sebagai Chin memaklumkan melalui mesej media sosial bahawa dia dipukul, diseksa menggunakan alat renjatan elektrik dan batang besi selain tidak diberi makan selama empat hari.

“Anak saya kata dia diajar teknik menipu dan dipaksa belajar melakukan scam. Pada 11 Disember lalu, dia sempat menelefon dan memberitahu dipindahkan ke kawasan lain oleh sindiket,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kes berasingan, seorang suri rumah, Vivian, 52, berkata anak lelakinya Brian, 24, yang bekerja dalam sektor pelancongan, dipercayai dipanggil oleh majikan sendiri sebelum dihantar ke Kemboja pada 8 Disember lalu untuk menjadi ahli sindiket berkenaan.

Jelasnya, pasport anaknya dirampas sindiket yang kini menuntut pampasan sebanyak 13,000 USDT (mata wang kripto) (RM53,075.24) untuk proses pembebasan.

“Lebih menakutkan, kami dimaklumkan rakan yang sebelum ini membayar pampasan tidak dibenarkan pulang. Anak saya dipercayai ditahan di sebuah kasino,” ujarnya.

Sementara itu, Lee, 52, dari Kuala Lumpur pula berkata anak lelakinya berusia 27 tahun, seorang jurujual alat ganti dan pemandu e-hailing, dipercayai berada di Sihanoukville, Kemboja selepas ke rumah rakan pada 8 Disember.

Katanya, sindiket berkenaan menuntut bayaran 7,000 USDT sebagai tebusan bagi melepaskan anaknya dari tahanan mereka.

Turut senasib, Chi, 55, yang kini menjaga cucu, berkata, anak bongsunya berusia 25 tahun kali terakhir menghubungi keluarga antara 9 dan 10 Disember lalu.

“Sindiket menuntut pampasan kepada keluarga kami dengan jumlah yang agak besar sekitar 10,000 USDT. Dia (anak) hubungi ayahnya dan kata dia terperangkap. Sejak itu kami tidak dengar khabar. Sebagai ibu, saya hanya mampu berdoa setiap hari,” jelasnya.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya meminta agar Kedutaan Besar di Kemboja untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa terlibat dalam sindiket berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI