GUA MUSANG – Penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir menyifatkan banjir yang melanda penempatan mereka semalam merupakan bencana terburuk di kawasan tersebut selepas bah kuning pada 2014.
Seorang mangsa banjir, Aleriyana Mahmud, 44, berkata, ini merupakan kejadian banjir kali ketiga selepas perkampungan mereka dilanda bah besar kira-kira 11 tahun lalu.
Katanya, kebanyakan penduduk kelam-kabut semalam kerana hujan turun secara berterusan dan paras banjir meningkat secara mendadak.
“Selepas rumah saya dihanyutkan banjir pada 2014, ini merupakan kejadian banjir paling buruk kerana air Sungai Lebir naik dengan cepat. Saya hanya sempat menyelamatkan pakaian dan dokumen penting ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui pemberita di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Norfatirah Zahemi, 31, berkata, dia bersama suami dan tiga anak yang berusia dalam lingkungan dua bulan hingga 10 tahun berpindah ke PPS terbabit petang semalam.
“Air sungai naik kira-kira pukul 4 pagi sebelum sampai ke rumah saya pada waktu tengah hari. Kami masih trauma dengan kejadian bah kuning 2014 kerana paras air semalam naik secara mendadak sama seperti tahun tersebut,” katanya.
Ketua Peneroka RKT Kesedar Lebir, Nor Azmi Abdullah, 49, berkata, seramai 148 mangsa daripada 35 keluarga berlindung di PPS SK Lebir apabila rumah mereka terjejas banjir. – KOSMO! ONLINE














