KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kini diterajui kepimpinan baharu selepas Dr. Mohammed Taufiq Johari, Ahli Parlimen Sungai Petani yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan bersama Mordi Bimol selaku Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Taufiq yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perubatan dari Universiti Islam Bandung menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar dalam memastikan kesinambungan pembangunan belia dan sukan negara terus diperkukuh.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk bersama-sama menahkodai KBS dan memastikan kesinambungan gerak kerja kementerian dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas istiadat angkat sumpah di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas kepimpinan dan inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya menerajui kementerian itu sejak Disember 2022.
Taufiq juga mengiktiraf sumbangan Adam Adli Abdul Halim yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, khususnya dalam memperkukuh ekosistem pembangunan belia serta penglibatan belia di peringkat akar umbi.
Menurut Taufiq, hari pertama beliau di KBS akan dimanfaatkan untuk memahami secara menyeluruh operasi kementerian sebelum sebarang hala tuju baharu diumumkan kepada umum.
“Ini hari pertama saya di kementerian dan banyak perkara perlu diteliti dengan lebih mendalam, jadi saya akan mendapatkan taklimat daripada Ketua Setiausaha serta ketua-ketua jabatan terlebih dahulu,” jelasnya.
Mengulas hala tuju kepimpinan baharu, beliau menegaskan tumpuan akan diberikan kepada pembangunan belia secara menyeluruh serta pengukuhan sukan berprestasi tinggi sebagai persiapan melahirkan generasi masa depan negara.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama rentas kementerian dan sokongan persatuan sukan dalam memastikan agenda pembangunan belia dan sukan dapat dilaksanakan secara bersepadu.














