ALOR GAJAH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu warga emas di Jalan Paya Mengkuang, Masjid Tanah, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.09 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Masjid Tanah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang cuba melintas jalan dari kawasan perumahan ke seberang jalan.
Katanya, mangsa bagaimanapun telah dilanggar sebuah MPV jenis Toyota Avanza dipandu lelaki tempatan berusia 64 tahun yang dalam perjalanan dari arah Paya Mengkuang menuju ke Masjid Tanah.
“Perlanggaran mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah untuk mendapatkan rawatan.
“Kanak-kanak itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik terbabit,” katanya dalam satu kenyataan malam semalam.
Tambahnya, saringan ujian air kencing terhadap pemandu yang bekerja sebagai penyelia turut mendapati keputusan negatif dadah,” katanya.
Ahmad berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli melalui talian 011-2543 5507 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Terdahulu, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Masjid Tanah melalui Facebook rasminya turut berkongsi berita duka mengenai muridnya yang meninggal dunia dalam nahas berkenaan.
“Salam takziah, telah kembali ke rahmatullah Allahyarham adik Muhd. Iman Nazhan Bin Jasri, kanak-kanak dari Tabika Kemas Pengkalan Balak B akibat terlibat dengan kemalangan jalan raya.
“Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga daripada kami seluruh warga Kemas Parlimen Masjid Tanah,” tulisnya.-KOSMO! ONLINE














