Rabeatul Adawiyah (tengah) meninjau kembali lokasi kemalangan tragis yang meragut dua nyawa serta seorang lagi cedera parah ketika ditemui Kosmo! di Taman Musytari, Jempol semalam. - NOR AINNA HAMZAH

‘Siapa ada rakaman dashcam, tolonglah saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JEMPOL – Seorang ibu memohon orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan maut yang meragut nyawa dua remaja di Jalan Taman Musytari, Batu Kikir pada Sabtu lalu agar tampil membantu mereka bagi merungkai kejadian sebenar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang itu, dua remaja yang maut berusia 13 serta 10 tahun, manakala, seorang lagi mengalami kecederaan parah dan kini masih dirawat di Hospital Serdang.

Menurut ibu kepada salah seorang remaja yang maut, Rabeatul Adawiyah Abdullah, 40, anak ketiganya itu, Nur Amani Hazirah Mohd Hazie mengalami kecederaan yang cukup parah seolah-olah terdapat hentaman yang cukup besar, sedangkan mereka hanya menaiki motosikal jenis Honda C100.

“Memang tak terjangkau di fikiran kami jika melihat keadaan ketiga-tiga mangsa. Melalui semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan, mereka menunggang motosikal dengan kelajuan yang biasa sahaja. Jika lihat dari kecederaan seperti ini, kemungkinan berlaku rempuhan yang begitu kuat.

“Apa yang membuat kami tertanya-tanya terdapat sebiji bola berhampiran mangsa kemalangan dan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya berhubung punca sebenar kemalangan ini berlaku dan kami berharap dapat mengetahuinya dengan bantuan CCTV atau dashcam kenderaan yang melalui kawasan ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Taman Musytari di sini semalam.

Ujar Rabeatul lagi, dia dan ahli keluarga yang lain hanya ingin mengetahui apa yang berlaku disebabkan kecederaan yang dialami oleh ketiga-tiga remaja berkenaan sangat teruk, namun, kesemuanya reda dengan apa yang berlaku.

“Waktu kejadian saya tak ada, saya bekerja di Arked Mara Batu Kikir. Saya cuma mahu mencari bukti kemalangan berlaku kerana ketiga-tiga mendapat hentaman yang cukup kuat.

“Kalau terbabas saya terima, namun logik akal kecederaan yang mereka dapat memang sukar untuk difahami. Jadi saya sedang mencari rakaman antara pukul 5.37 petang hingga 5.55 petang,” katanya.

Malah katanya, dia juga kini berasa sangat sedih susulan bukan hanya disebabkan kehilangan anak, namun, pelbagai komen yang menyalahkan mereka untuk tidak menghalang anak mereka menunggang atau menaiki motosikal.

“Tak ada siapa nak hilang anak. Cuma itulah, benda dah nak jadi, tak ada salah siapa. Semua Allah dah tentukan. Cuma, kalau boleh saya memang nak tengok rakaman CCTV atau dashcam bagi menjelaskan kecederaan yang dialami oleh kesemua tiga remaja termasuk anak saya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua remaja perempuan maut, manakala seorang lagi parah apabila motosikal jenis Honda C100 yang mereka naiki terbabas di Jalan Taman Musytari, Batu Kikir.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang itu, kejadian dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal iaitu seorang remaja perempuan berusia 13 tahun bersama dua orang pembonceng berusia 10 tahun dan 13 tahun dari arah Taman Mawar menuju ke Taman Musytari.

“Setiba di lokasi kejadian semasa penunggang motosikal sedang bergerak terus tiba-tiba dapati telah gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kanan lalu melanggar sebatang pokok,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta agar saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan
Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 016-3627746 bagi membantu
siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN