BIARPUN baru berkhidmat sebagai pensyarah perubatan, Dr. Rasyidah Rehir telah melakar satu sejarah tersendiri.
Wanita berusia 32 tahun yang bertugas di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, Kuala Lumpur itu telah menjadi salah seorang penerima Geran Anugerah Merdeka oleh Merdeka Award Trust yang mengiktiraf bakat luar biasa penyelidik muda Malaysia.
Ia diberikan kepada penyelidik muda berusia 35 tahun ke bawah yang menunjukkan potensi besar serta projek penyelidikan berimpak tinggi.
Dr. Rasyidah meraih anugerah tersebut setelah membentangkan projek yang diketuainya iaitu cadangan menubuhkan satu pusat mayat yang diawet atau kadaver.
Menurutnya, pusat kadaver sangat penting dalam dunia perubatan dan ia digunakan untuk tujuan pendidikan, penyelidikan dan latihan klinikal.
“Ia memberikan pelajar perubatan pengalaman langsung untuk memahami struktur tubuh manusia secara tepat.
“Dengan adanya pusat kadaver termaju ini ia sekali gus dapat memajukan pengajaran anatomi, latihan pembedahan dan penyelidikan dalam bidang perubatan,” katanya.
Untuk mendapat geran tersebut bukan sesuatu yang mudah, dia harus melalui tiga peringkat saringan.
Untuk saringan awal, Dr. Rasyidah perlu membentangkan proposal projeknya.Daripada lebih 200 peserta, hanya 20 peserta disenarai pendek untuk ke peringkat seterusnya.
“Pada peringkat ini, kita akan melakukan pembentangan untuk mempertahankan projek kita dan kemudian hanya 10 orang peserta dipilih untuk ke final.
“Daripada 10 peserta hanya lima yang akan menerima geran ini dan saya salah seorang daripadanya,” jelasnya yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata.
Dr. Rasyidah mengakui meletakkan usaha yang sangat tinggi untuk mendapatkan geran tersebut. Dia gembira, dengan izin Allah, usahanya berjaya.
“Saya sangat bersyukur dan tidak dapat digambarkan kegembiraan.
“Ini kerana saya merupakan seorang pensyarah dan penyelidik baharu serta masih belum ada projek atau kepakaran berbanding pensyarah-pensyarah yang lebih lama,” katanya kepada K-Kampus.
Bagi Dr. Rasyidah, sememangnya menjadi cabaran buat dirinya sebagai penyelidik baharu untuk diberi kepercayaan mendapat sesuatu geran melaksanakan sesuatu projek besar.
Melalui geran tersebut, Dr. Rasyidah akan mengikuti program attachment di Medical University of Graz di Austria dan University of Dundee di United Kingdom pada tahun hadapan.
Di dua universiti tersebut, Dr. Rasyidah akan belajar serta meneroka kaedah pengawetan lain yang lebih maju dan selamat iaitu teknik Thiel.
Jelas Dr. Rasyidah, untuk tujuan mengajar, pensyarah-pensyarah di sana memang menggunakan mayat yang diawet ataupun kadaver.
“Secara tradisionalnya, mayat diawetkan dengan menggunakan formalin iaitu bahan kimia terkawal yang sering digunakan sebagai pengawet, tetapi ia mempunyai risikonya yang tersendiri.
“Oleh itu, kita beralih kepada teknik pengawetan yang lebih selamat yang dikenali sebagai teknik Thiel, ia masih belum lagi digunakan di Malaysia,” jelasnya yang juga merupakan pensyarah bidang anatomi.
Tambah Dr. Rasyidah, projek yang ingin dilaksanakannya nanti bukan sekadar menjadi pusat penerimaan mayat tetapi turut menjalankan penyelidikan berasaskan mayat yang diawet berasaskan teknik Thiel.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai teknik Thiel, Dr. Rasyidah menyatakan ia merupakan kaedah pengawetan yang diasaskan di Austria dan dikembangkan di United Kingdom.
Kaedah ini dikenali sebagai ‘soft-fixation’ kerana ia mampu mengekalkan warna dan keanjalan tisu seperti keadaan sebenar bagi aplikasi pembedahan dan penyelidikan yang lebih realistik.
Selain itu, kelebihan teknik Thiel ini, ia tidak membuatkan tekstur mayat menjadi terlalu keras.
Ia boleh digunakan bukan sahaja untuk pengajaran, tetapi juga untuk latihan pembedahan dan penyelidikan.

Dari segi ketahanan pula, mayat yang diawet menggunakan teknik Thiel hanya mampu bertahan sekitar dua hingga empat tahun. Bagaimanapun, tempoh tersebut dianggap memadai kerana fokus utamanya ialah latihan pembedahan dan penyelidikan.
Dr. Rasyidah berkata, di Medical University of Graz, mereka menggunakan lebih kurang tujuh jenis solusi pengawetan.
“Jadi selain teknik Thiel, saya juga berpeluang mempelajari teknik-teknik lain, setiap teknik mempunyai keberkesanan dan cara penyelenggaraan berbeza, bergantung pada suhu serta kelembapan negara masing-masing.
“Saya boleh melihat sendiri mana satu kaedah yang paling sesuai untuk diaplikasikan di Malaysia dan kemudian mengajar pensyarah lain di UKM untuk mengawet mayat yang digunakan untuk tujuan pembelajaran,” katanya yang memiliki sarjana dalam bidang anatomi manusia dari Universiti Edinburgh, Scotland.
Tambahnya, selain itu, di sana juga dia berpeluang untuk belajar tentang bagaimana mereka menguruskan pendermaan tubuh badan mayat.
Dalam pada itu, katanya, untuk pengajaran dalam bidang perubatan, meskipun buku teks dan pelbagai peranti perubatan lain boleh digunakan dalam proses pembelajaran, namun ia masih tidak mampu untuk menggantikan tubuh manusia sebenar dalam bidang perubatan.
Ini kerana terang Dr. Rasyidah, setiap tubuh manusia mempunyai variasi atau perbezaan.
“Sebagai contoh, corak salur darah saya berbeza dengan individu lain, jadi kita mahu mengajar dengan spesimen yang sebenar supaya pelajar perubatan kita tahu ada perbezaan.
“Apabila pelajar itu telah menjadi doktor, mereka akan melakukan pembedahan dan rawatan, jadi dia perlu tahu perbezaan antara setiap individu,” terangnya.
Selain itu, di Malaysia, jumlah kadaver yang tersedia untuk tujuan pendidikan dan latihan pembedahan juga adalah terhad.
Disebabkan kekurangan ini, ramai pakar bedah tidak dapat membuat latihan pada mayat.
Untuk mengurangkan risiko kesilapan sewaktu pembedahan, latihan yang menggunakan tubuh mayat seperti ini juga diperlukan.
Oleh itu, penggunaan kadaver bukan sahaja penting untuk pembelajaran anatomi tetapi juga untuk keselamatan pesakit dalam latihan pembedahan.
Dalam isu yang lain, di Malaysia juga, kata Dr. Rasyidah, program pendermaan tubuh badan mayat masih baharu dan belum mendapat pendedahan meluas dan ini menjadi cabaran utama.
“Jika pendermaan organ masyarakat lebih mengetahuinya, tetapi kesedaran dan pengetahuan untuk pendermaan tubuh badan masih rendah.
“Kita perlu perluaskan lagi kesedaran ini agar lebih ramai tampil menderma,” ujar Dr. Rasyidah.
Selain itu katanya, cabaran lain adalah dari segi aspek keagamaan.
Buat masa ini, pendermaan badan belum dibenarkan untuk masyarakat beragama Islam, hanya pendermaan organ sahaja yang dibenarkan.
Kebiasaannya, pendermaan badan mayat untuk untuk pembelajaran itu adalah daripada mereka yang bukan beragama Islam.
Dr. Rasyidah menjelaskan, bagaimanapun untuk program pendermaan badan mayat kebiasaannya ia akan diambil untuk jangka masa yang pendek.
“Setelah selesai penggunaanya untuk tujuan pembelajaran atau penyelidikan, ia akan dibakar, ditanam atau dipulangkan semula jika ada permintaan daripada keluarga.
“Selalunya, pusat pendermaan tubuh ini ada kerjasama dengan krematorium ataupun tempat menguruskan mayat,” katanya.














