fbpx
Pikap Thailand yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan diesel pada semalam. - AKPS

Pemandu pikap Thailand tak serik seludup diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Penyeludup diesel dikesan masih tidak serik melakukan kegiatan haram itu apabila seorang lagi pemandu pikap warga Thailand ditahan bersama 400 liter bahan api berkenaan di sini semalam.

Cubaan menyeludup diesel itu berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 9.15 pagi.

Ketua Bahagian Operasi Khas AKPS Bukit Kayu Hitam, Saiful Jeffery Razali berkata, pemeriksaan teliti menemukan tangki simpanan diesel yang diubah suai pada kenderaan berkenaan.

“Terdapat sebanyak 400 liter diesel dianggarkan bernilai RM924 disembunyikan di dalam tangki tersebut.

“Suspek berusia lingkungan 30-an disyaki cuba menyeludup diesel dalam kuantiti banyak dengan menggunakan pikap yang telah diubah suai secara haram pada tangki simpanan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pikap dan diesel berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana mengubah suai kenderaan bagi tujuan penyeludupan serta Seksyen 64(1) APJ 1987 yang membenarkan kenderaan disita.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdaya agensi penguat kuasa melalui pengubahsuaian kenderaan bagi tujuan penyeludupan,” ujarnya.

Tambahnya, butiran lanjut mengenai ejen atau syarikat yang terlibat kini dalam siasatan pihak JPJ dan agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN