fbpx
Nur Batrisya Edriana (kanan) dan adiknya, Nur Aisyah Medina bergambar kenangan sebelum pembedahan pemindahan hati di PPUM, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Hati kakak penyambung hayat Aisyah Medina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Demi kasih sayang, seorang gadis ber­usia 21 tahun sanggup me­ngorbankan sebahagian hati de­mi menyelamatkan nyawa adik bongsunya yang menderita penyakit Biliary Atresia (BA) sejak lahir.

Pembedahan pemindahan ha­ti antara Nur Batrisya Edriana Muhammad Ridzuan dan Nur Aisyah Medina, 8, yang berasal da­ri Panji Alam di sini, selamat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Peta­ling Jaya, Khamis lalu.

Sejak beberapa bulan lalu, tahap kesihatan Nur Aisyah Medina yang juga anak bongsu daripada lima beradik itu sema­kin merosot de­ngan hatinya mula gagal berfungsi.

Sekiranya pemindahan hati tidak segera dijalankan, keadaan kesihatan kanak-kanak itu akan menjadi lebih teruk.

Ibu saudara mereka, Shahirah Kadir, 31, berkata, Nur Aisyah Me­dina dilahirkan dengan penya­kit BA iaitu saluran hempedu tersumbat sehingga menyebabkan hempedu terkumpul dalam hati, sekali gus merosakkan organ ter­sebut.

“Biarpun pernah menjalani pembedahan Kasai (mewujudkan semula aliran hempedu dari hati ke usus kecil) sewaktu berusia 54 hari selepas dilahirkan, na­mun ia gagal menyembuhkan Nur Aisyah Medina,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurutnya, Nur Batrisya Ed­ria­na yang juga pekerja premis ba­rangan kesihatan dan farmasi yang tidak sampai hati apabila melihat penderitaan adiknya kesayangannya itu.

Katanya, anak saudaranya itu dengan ikhlas dan tekad mendermakan sebahagian hatinya yang menjadi penyambung nyawa Nur Aisyah Medina.

“Keyakinan Nur Batrisya Ed­riana yang merupakan anak ke­dua untuk membantu adiknya se­makin kuat apabila ujian sa­ri­ngan melibatkan semua ahli keluarga mengesahkan dia yang paling sesuai menjadi penderma hati.

“Keikhlasan kakak (Nur Batrisya Edriana) membuatkan kami sekeluarga sebak dan terharu. Mereka kini berkongsi hati dan ia lambang kasih sayang berpanjangan.

“Alhamdulillah pembedahan pemindahan hati berjaya dan kedua-dua mereka kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaan mereka stabil,” katanya.

Ujarnya, Nur Batrisya Edriana dibawa keluar dari bilik pembedahan pada pukul 5 petang, Khamis lalu, manakala adiknya pula pada pukul 12.15 tengah malam kelmarin.

Dia berharap Nur Aisyah Medina yang akan dipantau di ICU PPUM dalam tempoh kira-kira dua minggu dapat membesar sebagai kanak-kanak sihat dan sentiasa mengenang pengorbanan kakaknya itu.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan kesejahteraan anak saudara saya selama ini.

“Kos pembedahan ini disumbang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sebelum itu, ramai sudah menghulurkan derma menerusi tabung yang dibuka hasil inisiatif badan bukan kerajaan, Nadi Permata Malaysia,” katanya.

Biliary Atresia
 Penyakit hati serius di mana saluran hempedu tersumbat atau rosak yang menghalang aliran hempedu dari hati
 Mengakibatkan kerosakan hati berperingkat yang boleh membawa kepada kegagalan hati jika tidak dirawat segera
 Dikaitkan dengan faktor seperti mutasi genetik, jangkitan virus atau bakteria, gangguan autoimun, kecacatan perkembangan hati serta saluran hempedu semasa dalam kandungan
 Antara tanda ialah penyakit kuning berlarutan, najis pucat atau kelabu, air kencing gelap, perut atau hati membesar
 Rawatan dengan kaedah pembedahan kasai untuk membuka laluan hempedu atau pemindahan hati

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN